BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan menerima pelbagai cadangan daripada orang ramai khususnya peminat adalah situasi normal yang perlu dilaluinya setiap kali bakal mengadakan konsert berskala besar.
Menurut Siti, 47, dia mengambil maklum setiap lontaran idea peminat terutama untuk konsert Tradisional Gema Bumantara namun menegaskan semua perbincangan masih diperingkat awal dan belum mempunyai sebarang kata putus mengenai konsep dan senarai artis undangan.
“Perkara sebegitu biasa, memang akan ada setiap kali saya buat konsert. Pelbagai cadangan yang saya baca dalam media sosial.
“Cuma kami belum putuskan apa-apa untuk untuk konsert Tradisional Gema Bumantara sebab masil awal lagi tetapi paling penting adalah nak buat konsep terlebih dahulu termasuk lagu dan elemen kejutan yang mahu dibawa.
“Kami masih lagi duduk berbincang mengenainya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Tambahnya, peminat sering menyuarakan idea mengenai pemilihan lagu dan kriteria busana yang sepatutnya digayakan pada hari konsert.
“Peminat memang selalu akan bagi cadangan, ‘Siti nyanyi lagu ini, Siti artis ini, Siti pakai baju ini’.
“Pendapat yang disuarakan peminat memang terperinci.
“Namun, kami ada pasukan profesional dan pengarah persembahan yang diberi tanggungjawab untuk menentukan konsep konsert itu nanti,” jelasnya.
Mengulas mengenai beberapa nama penyanyi yang dicadangkan netizen untuk sepentas dengannya ada konsert tersebut, pelantun lagu Biarlah Rahsia itu memberitahu masih belum memikirkan hal tersebut lagi.
“Masa Konsert Legacy 30, kami umumkan penyanyi undangan sekitar dua minggu sebelum acara.
“Mungkin kali ini juga begitu dan memang tidak tahu lagi siapa,” katanya lagi.
Terdahulu, beberapa nama penyanyi seperti Aisha Retno, Noraniza Idris dan Mimi Fly antara disebut netizen agar menjadi artis undangan pada konsert Tradisional Gema Bumantara yang bakal berlangsung pada 17 Oktober depan di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Noraniza Idris dalam stau temu bual baru-baru ini berkata, dia sentiasa memberi sokongan terhadap Siti Nurhaliza.
Dia juga tidak meletakkan sebarang harapan sama ada dipelawa menjadi artis undangan pada acara yang mengangkat martabat budaya dan irama tradisional itu. – HIBGLAM
