BAKAL berkongsi pentas dengan legenda muzik, Datuk M. Nasir pada konsert M.N47IR CIPTA 4 Sabtu ini, Datuk Awie mendedahkan individu itu merupakan guru pertama yang menariknya masuk ke arena seni 40 tahun lalu.
Bukan sahaja itu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 58, memaklumkan lagu ikonik Istana Menanti gubahan M. Nasir sepatutnya dirakamkan olehnya namun ‘terlepas’ ke tangan orang lain iaitu Datuk Rahim Maarof.
“Guru pertama yang mengajar saya menyanyi, inilah dia Datuk M. Nasir tahun 80-an dulu.
Dapat kembali nyanyikan lagu yang sepatutnya saya rakam dulu Istana Menanti, memang saya teruja.
“Istana Menanti ciptaan M. Nasir patutnya untuk saya nyanyi dalam filem Fenomena satu ketika dahulu,” katanya kepada HibGlam pada sesi latihan konsert berkenaan, semalam.
Kata Awie, masih basah di fikirannya bagaimana lagu malar hijau itu terlepas ke tangan orang lain dalam waktu yang singkat disebabkan M. Nasir ketika itu memang komposer yang sangat sibuk.
“Saya ingat lagi kisah ini A- Z. Waktu itu bulan puasa, M. Nasir minta saya nyanyi (di studio), beliau pergi temu bual di Utusan Malaysia.
Balik sahaja temu bual, ada seorang penyanyi datang minta lagu itu. Dia kata, lagu dalam album dia takda hit. Mulanya saya tak bagi, tapi datang pula Datuk Aziz Bakar puju rayu.
“Pujuk punya pujuk, akhirnya saya akurlah. Jadi sekarang, saya buruk siku saya ambil balik lagu itu dan akan dipersembahkan dengan M. Nasir pada konsert nanti,” kata Awie.
Tanpa berselindung, Awie memaklumkan dia sangat menyukai lagu Istana Menanti dan tidak sabar mendendangkannya secara langsung di konsert nanti.
Saya memang suka lagu itu. Kali ini, saya dapat menyanyikan kembali lagu itu bersama penciptanya,” katanya.
Sementara itu, M. Nasir berkata, keterujaannya mengadakan konsert tidak akan pernah malap selagi nyawa dikandung badan.
“Selagi ada ‘demand’, saya tak kisah buat konsert. Rasa teruja itu memang akan sentiasa ada selagi saya bekerja dalam bidang ini,” ujarnya. – HIBGLAM
