‘Memang menitik-nitiklah peluh Hun Haqeem masa tu’

PELAKON Nabila Huda sekali lagi mencuri perhatian selepas dipertanggungjawabkan menjayakan watak baharu dalam drama terbitan Viu Malaysia berjudul Cela.
Dalam drama arahan Feroz Kader itu, Nabila yang lebih mesra disapa sebagai Abil membawakan watak sebagai seorang ahli politik yang menjalin hubungan dengan lelaki muda yang dilakonkan oleh Hun Haqeem.
Ditanya sejauh mana keberaniannya dalam menjayakan babak panas bersama Hun dalam drama tersebut, kata Abil, dia tidak boleh berkongsi dengan terperinci.
“Saya tak boleh nak cerita dengan lebih lanjut seberapa ‘daring’ babak kami dalam drama ini.
Apa yang saya boleh cakap, menitik-nitiklah peluh Hun Haqeem tu. Saya pun berpeluh juga. ‘Nervous’ aku! ,” katanya ketika ditemui di set penggambaran drama Cela, di sini, baru-baru ini.
Tambah pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 itu lagi, dia gementar melakonkan babak tersebut bersama Hun kerana masih belum biasa bergandingannya.
“Saya pun sebenarnya gementar juga. Selalunya saya bergandingan dengan orang yang saya dah selalu berlakon. Ini kali pertama saya bergandingan dengan Hun Haqeem.
“Saya tak boleh nak jelaskan rasa ‘overthinking’ itu. Tetapi bila dah masuk set, saya dah ‘in character’ dan kita dapat jayakan babak-babak tersebut dengan sempurna,” jelasnya.
Demi menghidupkan wataknya, Abil juga sanggup mewarnakan rambutnya kepada warna perang muda agar kelihatan berbeza.
“Saya pernah lakonan watak yang sama sebelum ini. Jadi saya fikir saya mahu ubah penampilan saya kali ini agar tak nampak klise.
“Pada mulanya saya fikir nak pakai rambut palsu sahaja. Tetapi memandangkan cuaca yang agak panas, takut tak selesa pula nanti dan boleh mengganggu ‘mood’.
“Jadi saya buat keputusan untuk warnakan rambut. Dah lama saya tak warna rambut sebenarnya. Saya warna rambut ini khas untuk drama ini sahaja. Habis sahaja penggambaran saya akan hitamkan semula,” kongsinya.
Selain Abil dan Hun, drama Cela turut dibintangi oleh Datuk Eizlan Yusof, Zain Saidin, Zarif Ghazi dan Lisdawati. – HIBGLAM
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok