DITUDUH mengambil pelakon golongan lelaki transgender, penerbit dan pengarah Erma Fatima menegaskan tidak pernah mengambil tahu soal latar belakang peribadi pelakon yang dipilih berlakon dalam karya arahannya.
Erma atau nama penuhnya Fatimah Rahmad Ali, 57, turut menafikan tuduhan kononnya dia seorang pengumpul bahan lucah.
“Saya tidak tahu tentang latar belakangnya.
“Ketika ambil pelakon, saya tidak pernah tanya latar belakang mereka.
“Yang paling penting, saya bukan porn collector (pengumpul bahan lucah),” katanya kepada HibGlam pada malam gala filem Tembuni Berdarah, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Erma enggan menjelaskan lebih lanjut mengenai pemilihan pelakon terbabit untuk naskhah terbaharunya berjudul Pondan Itu.
Sebelum ini, penerbit drama sensasi Bidaah itu menerima kecaman selepas melancarkan ‘teaser’ dramanya kerana menampilkan seorang pelakon dipercayai pondan selain didakwa mempunyai perilaku sumbang termasuk menjual video seks dengan lelaki dalam sebuah aplikasi.
Dalam video teaser tersebut, Erma memaklumkan hasratnya untuk mengetengahkan golongan mak nyah yang menurutnya juga merupakan manusia biasa. – HIBGLAM