‘Baik saya diam, tak boleh puaskan hati semua’

MASIH hijau dalam bidang lakonan, namun kelibat pucuk muda dengan nama pentas, Erysha Emyra ini mudah memanggil tarikan dalam kalangan pemain industri. 

Kehadirannya bukan sekadar  menumpang teduh bawah pengaruh si ibu, Datin Seri Noniswara yang juga seorang pelakon tetapi bakat lakonannya yang semakin bersinar. 

Di sebalik raut wajah yang diselimuti pesona tipikal, pemalu dan pendiam, pemilik nama Nur Erysha Emyra Zakaria itu menyimpan satu kekuatan lakonan yang cukup hidup.

Saat ini, mata peminat melekat pada naskhah terbaharunya berjudul Ikatan Terlarang

Menggalas watak Azura iaitu seorang wanita yang dikhianati orang sekeliling, wanita berusia 27 tahun itu tidak menafikan ada rasa gementar yang singgah di hati. 

“Sebenarnya masa mula-mula saya dapat watak ini takut juga. Sampai saya berbincang dengan pengarah. 

“Tapi kita selalu capai kata sepakat. Abang Riza (pengarah) mahu saya all out (sehabis baik) juga. 

Dia cadangkan untuk kurangkan intonasi kalau marah sebab tak adalah nampak terlalu biadab. Cuma nak lindungi diri sendiri,” katanya kepada HibGlam. 

Di sebalik gema pujian yang menghujani kematangan lakonannya, Erysha mengakui tidak sempat menjejakkan kaki ke kelas lakonan sebaliknya menyifatkan sebagai proses penggambaran menjadi ruang mengeluarkan sisi kematangannya. 

“Alhamdulillah kalau orang puji dan rasa ada impak. Saya sangat bersyukur. 

“Saya rasa mungkin kematangan itu hasil pengalaman dalam industri juga sebab kebelakangan ini saya tak ada pergi kelas lakonan. 

Bersikap profesional, Erysha mengambil pendekatan tidak melayani haters yang sering melemparkan spekulasi liar terhadapnya.

“Hari itu ada juga orang tanya saya masuk kelas lakonan ke untuk cerita ini tapi saya tak sempat,” katanya lagi. 

Dihujani pujian, pelakon drama Perempuan Itu  secara peribadi berasakan aksi yang ditampilkannya masih kurang memuaskan.

“Sudah tentu rasa sangat berbesar hati. Masa penggambaran pun saya cakap dengan orang di set seperti rakan gandingan saya, Hisyam Hamid dan pengarah yang saya tak rasa macam buat kerja dengan bagus. 

“Tapi bila penerimaan sebegitu, saya rasa alhamdulillah tak sangka orang terima dengan baik,” luahnya.

Berkongsi lanjut, Erysha mendedahkan kekurangan dalam lakonan berpunca daripada kurang fokus sementelah insan pertama yang dicintainya iaitu bapanya, Datuk Zakaria Abdul Rahman jatuh sakit semasa hendak mulakan penggambaran. 

“Jadi saya macam tak boleh nak fokus sangat. Tapi secara keseluruhan, saya rasa macam tidak bagus sangat. 

“Saya rasa mungkin saya boleh buat lebih lagi atau kurangkan dekat babak-babak tertentu,” jelasnya.

Seni meminjam rasa

Dalam masa sama, dia percaya lakonan adalah seni meminjam rasa. Disebabkan itu, dia menyalurkan kesedihan ke dalam roh watak Azura.

“Mungkin berlakon ini kadangkala kita meminjam rasa juga kan. Jadi, di set pun saya tidak sepenuhnya okey lagi. 

“Cuma ada ketika, mungkin daripada perasaan-perasaan itu, saya boleh salurkan ke dalam watak juga,” ujarnya. 

Baginya, pemergian bapa adalah sebuah peringatan tentang hakikat kehidupan bahawa hidup ini sekadar pinjaman Tuhan.

“Kalau fasal pemergian bapa, saya cuba beritahu diri bahawa itulah kehidupan. 

“Dalam kehidupan, kita di sini untuk diuji. Lambat-laun semua orang akan hadapi juga kehilangan ibu bapa masing-masing. 

Mungkin bahagian saya sampai awal sikit tapi hidup perlu diteruskan sebab kita pun akan menyusul juga,” kongsinya. 

Melalui fasa kedukaan bukan sesuatu mudah, wanita asal Kuala Lumpur itu mengakui tanpa disedari, kesibukan jadual seni menjadi pengubat yang melambatkan proses kesedihan meresap sepenuhnya ke dalam diri. 

“Sebenarnya macam tak sedar, saya dalam fasa melambatkan grieving (kedukaan). 

“Macam kadangkala di set, ada masa saya rasa breakdown (mengalami tekanan emosi) sebab sebelum ini saya asyik cuba menahan rasa itu. 

Impak lakonan membawakan watak Azura dalam drama Ikatan Terlarang dilihat membuka mata khalayak mengenai tahap lakonan Erysha yang semakin berkualiti. – FARIZ RUSADIO

“Kadangkala saya tengok bila sepatutnya jadual cuti sebab nak menangis. Penat sebenarnya tapi nak buat macam mana kan,” jelasnya.

Sasaran pembenci

Tidak mahu berlama-lama dalam topik meruntun jiwa, Erysha beralih bicara mengenai realiti bergelar anak seni yang tidak terlepas daripada badai kecaman netizen.

“Saya rasa benda itu tak boleh larilah. Biasalah kalau nak dibandingkan dengan rakan saya yang lebih kurang sama umur, ramai lagi haters (pembenci). 

“Macam saya borak dengan beberapa rakan saya seperti Meerqeen. Dia lagi kena teruk kutuk.

“Dia selalu cakap, tak apa kalau awak rasa awak ramai haters, saya lagi ramai’,” ujarnya. 

Baginya, usaha untuk melawan suara-suara sumbang tidak menjanjikan sebuah kemenangan.

Disebabkan itu, dia memilih untuk mengunci mulut daripada melayan setiap tohmahan yang dilemparkan.

Mungkin kalau dalam dunia seni pun ada juga orang yang tak berpuas hati dengan kita. Bila sudah masuk dalam industri ini, mungkin lagi berganda dan lebih agresif. 

“Sejujurnya saya tak layan, biarkan dan abaikan sajalah. Itu cara saya macam tak nak melawan sebab sebenarnya bukan saja dengan haters, dengan sesiapa pun awak tak boleh menang dengan semua benda. 

“Dalam dunia ini kita tak boleh nak puaskan hati semua orang, lebih baik diam,” tutupnya. 

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok