Sebabkan keguguran, Kylie Jenner disaman bekas cef peribadi

BEKAS cef peribadi pempengaruh Kylie Jenner memfailkan saman terhadap usahawan kosmetik itu dan keluarga Kardashian dengan mendakwa dipaksa bekerja sehingga 12 jam sehari ketika hamil sehingga menyebabkannya keguguran.

Menurut laporan Los Angeles Times, wanita itu mendakwa bekerja lima hari seminggu dengan beban tugas yang berat, termasuk menguruskan katering sebuah majlis hari jadi keluarga di Palm Springs ketika kandungannya berusia lima bulan.

Dia turut mendakwa permintaan mendapatkan bantuan sepanjang acara diabaikan sebelum mengalami keletihan melampau, pendarahan serius pada keesokan harinya dan akhirnya kehilangan kandungan.

Malah, wanita itu turut mendakwa mengalami kemurungan selepas insiden berkenaan, namun seorang penyelia hanya memintanya berhenti mengadu kerana dikatakan membuatkan Jenner sedih.

Peguam yang mewakilinya menegaskan status selebriti tidak mengecualikan mana-mana individu daripada mematuhi undang-undang buruh California.

Terdahulu, Kylie turut berdepan saman daripada bekas pembantu rumahnya yang mendakwa menjadi mangsa diskriminasi dan gangguan ketika bekerja.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok