Penyampai radio, Tyzo menegaskan gosip cintanya dengan usahawan Lydia Rosli sebelum ini bukan gimik untuk murahan untuk menaikkan semula nama dan kerjaya seninya.
Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain, 48, berkata, dia tidak pernah terfikir untuk melakukan perkara tersebut namun percaya netizen hari ini sudah pandai menilai bakat berbanding kisah peribadi seseorang.
“Sepanjang tempoh 25 tahun dalam industri, saya tidak ada kontroversi berkaitan dengan cinta dan sebagainya.
“Ada yang kata itu sebagai ‘marketing’ untuk kekal relevan dan sebagainya tetapi saya tidak setuju.
“Zaman sekarang ini orang lebih menilai bakat berbanding kisah peribadi,” katanya kepada HibGlam selepas sidang akhbar malam pra kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-36(ABP36) di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, dia sekali lagi memberitahu tidak mempunyai sebarang perasaan cinta terhadap Lydia namun hubungan antara mereka kekal baik sebagai sahabat.
Katanya lagi, dia juga bukan berada dalam fasa untuk bermain cinta apatah lagi menyakiti hati mana-mana wanita ketika ini.
“Kami masih berhubung dan saya sekarang sibuk dalam bidang perniagaan begitu juga dia. Saya juga ada belajar selok-belok bisnes dengan dia, saling tukar pendapat.
“Ada juga yang kata saya mainkan perasaan dan semua orang memang berhak untuk cakap benda tidak baik tentang saya.
“Jujur cakap, saya tidak pernah mainkan perasaan orang sebab sebelum ini saya pernah disakiti dan menyakiti. Kalau saya muda lagi mungkin boleh (menyakiti),” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Lydia atau nama sebenarnya, Nor Lydia Rosli 46 meluahkan rasa cinta dan keinginan untuk berkahwin dengan Tyzo tahun lalu namun perkara itu tidak menjadi kenyataan.
Menurut Lydia atau nama lengkapnya Nor Lydia Rosli,48, cintanya sebelum ini hanya untuk Tyzo, namun penyampai radio Ikim FM itu seperti belum bersedia untuk membawa hubungan mereka ke gerbang perkahwinan.
Sementara Tyzo pula mengakui terkejut dan tidak menyangka Lydia berkongsi secara terbuka kepada umum mengenai hal tersebut. – HIBGLAM