‘Tiba-tiba kena ‘attack’, rasa sunyi, teruk sangat…’

PELAKON Kamal Adli masih belum terbuka hati untuk mencari teman hidup walaupun berkongsi rasa sunyi dalam Threads sebelum ini.

Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, mengakui dia kini diulit rasa bahagia bersama anak tunggalnya, Hawra Uqaira.

“Saya tak melihat ke arah itu (cari pasangan) lagi. Saya gembira ada Hawra sekarang.

“Itu punca utama saya gembira sekarang iaitu dengan berada dekat dengannya,” katanya kepada HibGlam ketika  majlis perasmian Astro Fandom di D’ Theatre, Empire Damansara, semalam.

Dalam pada itu, pelakon filem Takluk: Lahad Datu itu berkata, perasaan sunyi yang menyerangnya secara tiba-tiba tiada kena-mengena dengan masalah keresahan melampau atau anxiety.

“Bukan rasa sunyi tetapi hari itu saja tiba-tiba kena ‘attack’ (serang). Saya bukannya ada anxiety.

“Rasa sunyi tiba-tiba muncul dan memang teruk sangat. Waktu itu sudah lewat malam dan tidak ada orang saya nak borak.

“Impaknya, rasa sunyi macam terus serang emosi saya dan memang tak tahu nak gambarkan macam mana pun ,” kongsinya lagi.

Dalam masa sama, Kamal bersyukur apabila ramai yang memberikan cadangan cara untuk mengatasi masalah tersebut.

“Ramai cakap pergilah jumpa keluarga, tapi bukan pasal keluarga. Saya cuma tertanya-tanya macam mana kalau orang pernah lalui benda macam itu.

“Saya tak sangka ramai berkongsi pendapat, termasuk mereka yang profesional dan alim ulama.

“Saya baca satu demi satu dan saya boleh kaitkan. Alhamdulillah, saya kembali tenang,” ujarnya.

Tambahnya, dia mengambil keputusan untuk berjumpa anak tunggalnya, Hawra Uqaira supaya lebih tenang.

“Esoknya saya terus cari Hawra. Bila dapat jumpa dia, saya rasa okey. Saya memang gembira bila bersamanya.

“Bila jumpa dia, saya tak pegang telefon, saya cuma nak luangkan masa dengan dia.

“Saya takut kalau perasaan itu datang lagi sebab saya sendiri tak pernah rasa macam itu sebelum ini.

“Pertama kali dia ‘hit’ teruk sangat. Itu yang saya jadi macam ‘blur’ sekejap,” katanya lagi.

Sebelum ini, Kamal mengakui sedang melalui fasa kesunyian dan kekosongan jiwa sehingga meminta pandangan orang ramai tentang cara terbaik untuk mengatasinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok