‘Laki siapa ni’ – Rita bengang kejayaan anak diperlekeh

PENCAPAIAN diperlekeh, pelakon Rita Rudaini tampil mempertahankan anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin yang berjaya memecahkan rekod Kejohanan Olahraga MRSM Kebangsaan 2026.

Rita atau nama lengkapnya, Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 50, membidas komen negatif mendakwa pertandingan disertai putera sulungnya itu sekadar acara kecil yang tidak perlu dibanggakan.

“Semua atlet bermula dari satu peringkat. Tiada siapa terus lahir di MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia).

“Macam hang (awak) la, keluar dari perut mak hang bukan terus boleh bercakap atau berlari kan? Bodohnya. Laki (suami) siapa entah ni. Kasihan mak hang beranak anak bodoh,” tulisnya.

Itu maklum balas Rita terhadap kenyataan seorang individu yang didakwa sengaja memperkecilkan pencapaian Rayyan dalam kejohahan membabitkan peserta Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara.

“Rekod MRSM sahaja pun bukan MSSM,” tulis individu berkenaan.

Begitupun, menerusi semakan mendapati komen asal yang menyentuh pencapaian remaja berusia 17 tahun itu dipercayai sudah dipadam.

Terdahulu, Rayyan yang mewakili kontinjen Selangor mencipta kejayaan membanggakan apabila memecahkan rekod acara 110 meter (m) lari berpagar pada Kejohanan Olahraga MRSM Kebangsaan 2026.

Selain mencipta rekod baharu, Rayyan turut meraih tempat kedua dalam acara 100m dan tempat ketiga bagi acara 200m. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok