Tak mahu lagi anggap keluarga perkara biasa – Puteri Aishah

PELAKON Puteri Aishah mengakui dua kehilangan besar dalam hidup mengubah cara pandangnya terhadap keluarga sehingga membuatkan dirinya kini lebih menghargai setiap detik bersama insan tersayang.

Ujar Puteri atau nama sebenarnya Puteri Aishah Sulaiman, 32, pemergian kedua-dua ibu bapanya menyedarkan bahawa tiada apa lebih bernilai selain meluangkan masa bersama ahli keluarga.

“Tahun ini saya kehilangan insan yang sangat saya sayangi.

“Perkara itu membuatkan saya sedar saya lebih suka meluangkan masa bersama adik-beradik dan keluarga yang rapat serta saya kasihi,” katanya dalam Threads.

Tambah bintang filem Pulang itu, pengalaman pahit tersebut turut mengajarnya agar tidak lagi mengambil mudah kehadiran insan tersayang dalam hidup.

“Saya tidak mahu lagi menganggap mereka sebagai satu perkara biasa. Saya mahu menghargai setiap detik bersama mereka.

“Paling penting, saya mahu mereka tahu saya benar-benar menyayangi mereka sepenuh hati,” jelasnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak selain bersetuju bahawa kehilangan insan tersayang sering menjadi titik perubahan dalam kehidupan seseorang.

“Selagi masih ada ibu bapa dan keluarga, hargailah mereka. Jangan ikutkan sangat emosi, bila sudah tiada baru nak menyesal memang tak guna.

“Kehilangan memang mengajar kita erti kasih sayang sebenar,” antara komen netizen.

Namun, ada juga netizen berkongsi pengalaman masing-masing kehilangan ibu bapa serta mengakui perkara tersebut membuatkan mereka lebih menghargai masa bersama keluarga.

Terdahulu, Puteri kehilangan ibunya, Allahyarhamah Norita Sulaiman pada 25 Januari lalu selepas hampir sedekad bertarung dengan kanser rahim sebelum penyakit itu merebak ke hati.

Sebelum itu, bapanya menghembuskan nafas terakhir pada 17 Januari 2023 di sebuah hospital di Kuantan, Pahang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok