Saya pencinta konsert berkonsep – Melly Goeslaw

TAHUN lalu, penyanyi yang terkenal dengan julukan ‘Queen of Soundtrack’, Melly Goeslaw, pernah berkunjung ke Malaysia untuk bertemu peminat tempatan menerusi konsert istimewa dengan tema Back To School.

Rata-rata pengunjung hadir memakai pakaian sekolah seolah-olah menyahut saranan pemilik nama lengkap Meliana Cessy Goeslaw.

Masih basah dalam ingatan peminat, tahun ini Melly sekali lagi mahu ke Malaysia mengadakan konsert Ada Apa Dengan Melly & Friend dengan mengangkat tema Malam Graduasi pula pada 1 Jun nanti.

Berkongsi mengenai konsert, penyanyi berusia 50 tahun itu gemar mengetengah pelbagai konsep untuk membezakan persembahannya dengan artis lain.

Seperti tahun lalu, tema yang ditetapkan mendapat sambutan luar biasa sehingga menjadi fenomena ketika kehadirannya ke negara ini.

Bagi pelantun lagu Denting itu, pilihan konsep yang ditetapkan di setiap konsert dapat mengeratkan lagi hubungannya bersama peminat.

Saya merupakan pencinta konsep. Jadi, apabila buat konsert saya mahu semuanya ikut tema ditetapkan bagi menyatukan penonton dan diri saya.

“Saya mahu mereka terlibat dengan persembahan saya secara tidak langsung menerusi gaya dan imej yang mereka gayakan.

“Mereka sudah beli tiket, tinggalkan rumah dan keluarga semata-mata menonton saya, jadi apa salahnya beri laluan mereka melakukan pertunjukan dengan kostum masing-masing,” katanya dalam kunjungan ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MELLY teruja untuk bertemu dan menghiburkan peminat menerusi konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends (Malam Graduasi) 1 Jun kelak.

Selain persembahan berkonsep, Melly juga terkenal dengan fesyen ekstravaganza, namun sering sahaja dikritik ramai kerana didakwa tidak sesuai dengan usia.

Meski, ramai yang tidak menggemari penggayaan busana pelik Melly, dia tetap teguh dengan pendirian demi memberikan terbaik dalam kariernya.

Selama berada dalam ruang lingkup seni, kita sebagai seniman mempunyai kebebasan untuk berkarya dan bukan cuma pada bidang seni.

“Seni itu abstrak, tidak mempunyai bentuk tetap atau bernilai. Apa yang pasti, selagi dilakukan dalam konteks kesenian, bagi saya bebas sahaja mahu lakukan apa pun.

“Kita berada dalam industri mengendalikannya. Apa pun tujuannya adalah demi kepuasan untuk menghiburkan peminat dan penonton,” ujarnya lagi.

Melihat nama konsert, pastinya ada kehadiran beberapa artis lain bakal menemani Melly di atas pentas tetapi belum diputuskan lagi.

Katanya, peminat berhak memilih artis yang bakal bergabung dengannya menerusi undian menerusi Instagram.

Melihat kepada usia, ramai yang kagum dengan aksi penyanyi dan penulis lagu itu mengekalkan stamina di atas pentas lebih-lebih lagi apabila mampu mempersembahkan lebih 30 lagu dalam satu malam.

Dia akui banyak melakukan senaman dan latihan bersama pelatih peribadi bagi tidak menghampakan peminat yang mahukan persembahan terbaik.

“Sekiranya ada konsert, saya menggunakan khidmat pelatih peribadi yang akan melatih vokal setiap hari supaya dapat meregangkan suara.

Jika tiada persembahan besar, saya hanya berlatih sendiri untuk menjaga suara.

“Bukan hanya melakukan latihan vokal, saya juga ada berlatih gerakan untuk mengekalkan stamina dan ada pelatih peribadi yang membantu saya.

Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends (Malam Graduasi) terbitan AKE Group dan Icon Entertainment bakal diadakan pada 1 Jun di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Tiket-tiket konsert mengikut kategori seperti Sejarah, Pendidikan Jasmani, Sains, Sastera dan Matematik berharga dari RM228 hingga RM588 kini boleh didapati menerusi www.Zcket2u.com.my atau hubungi talian 012 6530 700 (WhatsApp).

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok