Saya tak ulas hal rumah tangga orang – Uyaina Arshad

‘LANTANG tetapi bertempat, saya bercakap demi sebar kebenaran.”

Berkali-kali, itulah frasa terbit daripada bibir pemilik nama Uyaina Arshad kepada Pose dalam satu temu bual eksklusif di Studio Media Mulia baru-baru ini.

Anggun dalam persalinan pereka terkenal tanah air, Fizowoo, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu kini merupakan antara selebriti tanah air yang tanpa lelah melaungkan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Kelantangan yang dipamerkan dalam media sosial bukan sahaja tentang kekejaman rejim Zionis tetapi juga berkaitan isu lain seperti kepentingan bahasa Melayu dan berkaitan kehidupan harian.

Rentetan daripada sikapnya yang tidak pernah jemu bersuara, mulalah ada mulut-mukut segelintir pihak yang melabelnya sebagai ‘terpaling’ handal bersyarah dalam segala hal.

‘Terpaling’

‘Terpaling’ berbunyi jengkel, namun dia tenang menerima pandangan skeptikal yang menerjang ke mukanya.

Uyaina atau nama penuhnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad menegaskan, dia bersuara untuk isu tertentu sahaja.

“Saya bukan artis ‘terpaling’ yang suka memberi komen dan bersuara untuk semua isu pun.

“Kalau isu tersebut bukan kepakaran atau bidang yang saya tidak mahir, lebih baik diam dan biar individu selayaknya memberi ulasan,” katanya.

Baginya, isu Palestin adalah perkara yang ‘mendunia’ ketika ini dan perlu diperjuangkan oleh setiap warga beragama Islam.

Meskipun dilabel sebagai ‘terpaling’, dia tetap menyeru orang ramai agar terus ‘menyerang’ dan berperang dengan rejim Zionis menggunakan platform media sosial masing-masing.

“Palestin adalah isu dunia yang memang saya perlu bersuara untuk sebarkan kesedaran menerusi platform yang ada.

“Biarlah orang nak cakap saya suka ulas atau tidak. Paling penting mesej yang dikongsi dapat dilihat pihak sepatutnya.

“Jangan pernah berhenti berperang dalam media sosial sebab itu sahaja usaha kecil yang kita semua mampu lakukan untuk bumi Palestin selain doa,” tutur wanita berusia 31 itu.

Tidak terhenti di situ, wanita yang hadir dengan sentuhan jurusolek terkenal, Gebriel Padan itu bertegas, label ‘terpaling’ tidak seharusnya dilemparkan kepadanya secara sesuka hati.

Dia bahkan lega, suaminya yang juga penyanyi, Raja Syahiran juga tidak menghalang untuk dia terus bersuara, namun ada limitasi.

“‘Terpaling’ bagi saya ialah individu yang suka menempel dalam semua isu. Semua isu semasa hendak diulas sehingga boleh membuatkan ramai meluat.

“Sebagai contoh, saya tak akan komen isu rumah tangga orang atau hal membabitkan penyondol sebab suami pun tidak benarkan. 

“Dia dan saya risau benda yang diperkatakan itu berbalik kepada diri sendiri, tambahan pula usia perkahwinan kami pun baru berusia dua tahun. Jadi, kenapa nak sibuk ulas isu rumah tangga orang pula,” jelasnya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok