ANAK vokalis kumpulan Eye, Izam iaitu Muhammad Umar Al Faroq dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya malam tadi.
Menceritakan lanjut, Izam atau nama sebenar, Mohd. Izam Mohd. Arshad, 57, memaklumkan anaknya yang berusia 17 tahun itu keluar menunggang motosikal untuk berjumpa dengan abangnya.
“Arwah keluar seorang diri hendak jumpa abangnya dan pergi minum. Saya berada di rumah ketika itu.
“Lebih kurang jam 12 tengah malam, saya dapat panggilan daripada anak yang beritahu Umar terbabit dalam kemalangan.
Ketika itu, Umar dikatakan masih bernyawa. Namun, apabila saya tiba di lokasi, tangan dia sudah sejuk dan tidak lagi memberi sebarang tindak balas.
“Petugas ambulans kemudian mengesahkan arwah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Memandangkan arwah tidak menunjukkan perubahan ketara, pelantun lagu Hingga Tiba Saat Itu mengakui seakan sukar mempercayai anak bongsunya pergi mengadap Illahi terlebih dahulu.
“Saya masih tidak percaya. Semalam dia sempat buat aiskrim dengan emaknya.
“Saya juga sempat bertanya sama ada dia ada duit atau tidak. Itulah kali terakhir kami berkomunikasi.
Sedih kerana semuanya berlaku terlalu cepat. Saya sangka saya yang sakit ini akan pergi dahulu, rupanya dia yang mendahului saya, itu yang paling menyentuh hati saya,” katanya lagi.
Meskipun diselimuti rasa duka, Izam akur dan menerima ujian kehilangan anak bongsu dengan penuh keredaan dan menyerahkan kepada takdir Yang Maha Esa.
“Orang kata ajal maut di tangan Allah. Tidak akan cepat atau lambat walau sesaat.
“Saya hanya berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan menempatkan roh anak saya dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Jenazah Allahyarham Umar kini berada di Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn di sini, selepas solat Zohor, hari ini. – HIBGLAM
