Nyanyian kurang sikit, saya banyak berlakon – Noki

SEJAK kebelakangan ini, wajah Noki kerap menghiasi drama televisyen termasuk karya di layar perak. 

Percaturannya untuk terjun ke dalam bidang lakonan ternyata membuahkan hasil memandangkan aksi yang ditampilkannya tidak pernah canggung, sekali gus membuktikan statusnya sebagai seorang selebriti serba boleh.

Sibuk dengan lakonan, pemilik nama penuh Ahmad Ikhwan Aji mengakui sudah hampir dua tahun tiada lagu baharu, sekali gus meluahkan kerinduan untuk kembali ke studio rakaman.

Meskipun begitu, dia enggan lagi membawakan lagu-lagu bergenre rap rancak seperti zaman kegemilangannya bersama kumpulan K-Clique dahulu kerana menyedari faktor usia yang disifatkan semakin matang.

Nyanyian masih lagi aktif cuma kurang sikitlah. Orang pun perasan saya banyak berlakon. Saya rasa sudah dua tahun tiada single. Rindu memang rindu tapi kalau boleh, tak nak buat kemunculan semula dengan cara K-Clique dahulu. 

“Maksudnya tak nak lagu macam K-Clique yang lebih kepada ‘bragging’ sebab rasa macam umur dah tak bersesuaian,” katanya kepada HibGlam.

Baginya, setiap bait lagu yang dilontarkan ibarat doa, sekali gus mahu memberi ruang buat kumpulan rap baharu menonjolkan bakat mereka.

Rap ini macam bercakap dan bercakap adalah satu doa. Contohnya, kadang-kadang kami bagi perumpamaan dan bawa maksud yang tak bagus.

“Orang menyanyi rap, dosa itu pergi mana? Contohnya begitulah, tapi tak cakap saya ini baik tapi saya cuba jadi baik. 

“Sekarang pun ada beberapa kumpulan rapper baharu, bagi peluang kepada mereka,” ujarnya. 

Kerjasama negara luar


Noki bersama Jaa Suzuran dan Ainee Mustafa yang sama-sama memberi aksi cemerlang dalam filem Tiket Sehala.

Menyentuh mengenai kerjaya muziknya yang bergerak sedikit perlahan, jejaka berusia 32 tahun itu kini lebih selektif dan tidak lagi mahu sekadar ‘tangkap muat’ menerima apa sahaja projek yang datang.

“Tawaran melancarkan lagu itu ada tapi perasaan saya sendiri yang belum bersedia untuk buat. 

“Sebagai seorang penulis lagu, ada masanya kita akan rasa buntu sehingga mahu tulis pengenalan lirik pun tak boleh. 

“Kebanyakannya ada bagi tawaran tapi mungkin dari sergi harga itu tak sesuai dan ada juga yang tak sesuai dengan jiwa saya,” jelasnya. 

Beralih mengenai perkembangan seni lakonan, anak jati Sabah itu bakal muncul dalam sebuah naskhah berjudul Tiket Sehala yang menggabungkan kerjasama dengan pelakon-pelakon Korea Selatan, Indonesia dan Thailand.

“Bekerjasama dengan pelakon tiga negara iaitu Korea, Indonesia dan Thailand sangat seronok walaupun ada kesukaran sikit dari segi bahasa.

 “Susah sikit nak komunikasi terutamanya dengan pelakon Korea. Bahasa Inggeris mereka tak berapa okey. 

“Kalau dengan pelakon Thailand, bahasa Inggeris mereka okey. Jadi senang nak berborak,” ujarnya. 

Menyifatkan sebagai pengalaman yang menyeronokkan, Noki bagaimanapun tidak sempat menimba ilmu daripada pelakon-pelakon lain kerana kesuntukan masa. 

“Kalau nak bertanya banyak itu tak sangat tapi bila tengok cara lakonan dan kerja mereka, ada juga saya belajar. 

“Lagipun masa berlakon di Korea dalam masa sebulan, agak rushing. Nak kena kejar penggambaran. 

“Tapi memang seronok. Satu, pengalaman yang baharu untuk saya sebab tak pernah menjalani penggambaran tempat sejuk,” jelasnya. 

Cedera di Korea

NOKI berdepan sedikit kecederaan jari dan terkoyak pada bibir akibat lakonan aksi dalam filem Tiket Sehala yang bakal menemui penonton awal Ogos nanti

Dalam seronok, pelantun lagu Mimpi yang menjayakan watak Alif itu turut berdepan sedikit cabaran apabila mengalami kecederaan fizikal. 

Cedera sikit, jari saya terlipat ke belakang sebab ditendang. Ambil masa dalam seminggu ke dua minggu untuk pulih. 

“Lagi satu, masa latihan saya terkena tumbukan tidak sengaja oleh pelakon, tapi muka dia yang macam nak menangis. 

“Dia minta maaf, saya cakap tak mengapa biasalah aksi, kemalangan boleh berlaku. Cuma sakit jugalah, bibir saya koyak,” tuturnya. 

Tak mahu dilihat manja

Enggan menyusahkan pihak produksi berikutan kekangan masa, Noki hanya berehat seketika sebelum kembali menyambung penggambaran babak aksi tersebut.

Saya pun nak memudahkan orang. Saya malas nak nampak macam manja sangat. Jadi sebab itu saya mahu sambung penggambaran. 

“Saya fikir satu, masa sangat suntuk sampaikan ada babak perlawanan yang terpaksa dipotong, tak boleh habiskan sebab masa tak cukup. 

“Jadi saya takut benda-benda begitu berlaku. Akan beri kesan kepada cerita,” kongsinya. 

Bukan sekadar kecederaan fizikal, Noki turut membuktikan komitmen totalnya apabila sanggup mengubah penampilan dengan menurunkan berat badan secara drastik dalam tempoh kurang daripada sebulan.

“Saya sanggup ubah penampilan. Macam Tiket Sehala, pihak produksi minta saya turunkan berat sebab watak Alif adalah seorang yang tak cukup makan. 

Jadi, saya pun dietlah ketika itu. Daripada 85 kilogram (kg) turun sehingga 76kg. 

“Saya ambil masa kurang satu bulan dan makan makanan sihat sahaja,” tutupnya. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok