Kalau fikir balik, dulu saya lagi seksi – Tom

Dikecam tidak sedar diri gara-gara dikatakan semakin seksi walau sedang berbadan dua, penyanyi Tom tetap terbuka berdepan kritikan asalkan tidak melampau.

Jelas pemilik nama sebenar Raja Farah Afzal Raja Ikram itu, dirinya hanya manusia biasa yang masih berusaha untuk memperbaiki diri secara perlahan-lahan.

Kalau nak difikirkan, dulu saya lagi seksi, selain sudah terbiasa berpakaian sebegini sehingga kadangkala terlupa penampilan tersebut mencolok mata.

“Bagi saya tidak seksi tetapi apabila dikongsi dalam media sosial ramai orang komen membuatkan saya perasan sebenarnya pakaian saya terdedah dan tidak sopan.

Saya telan segala kritikan namun nak tegur biarlah berlapik. Saya akui kurang peka dan sedang perlahan-lahan belajar lagi bab agama,” katanya kepada HibGlam. 

Sementara itu, bekas peserta Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) itu turut meluahkan rasa syukur dikurniakan suami yang sentiasa membimbing dan menasihati secara baik tanpa memaksa.

Malah wanita bertubuh genit itu mengakui kehadiran Fuad Rahman banyak mengubah hidupnya, baik dari segi pemakaian mahupun pendedahan mengenai ilmu agama.

“Syukur, Fuad sendiri banyak bimbing saya, tegur saya mana yang tidak perasan. Alhamdulillah Fuad sampai sekarang cukup solat lima waktu meskipun orang pandang kami jahil sebab bertatu.

Kalau boleh undur masa, saya nak buang segala tatu di badan, dah naik muak. Apapun saya percaya setiap manusia itu diberi peluang Allah untuk bertaubat, lambat atau cepat, itu antara saya dan Tuhan.

“Terima kasih kepada yang menasihati, syukur kepada yang memaki, saya ambil mana yang baik dan cuba pekakkan telinga mana yang kurang enak didengar,” jelas Tom panjang lebar.

Terdahulu, sejak kehadiran Tom dalam industri seni selepas menyertai GV9, ada sahaja modal netizen untuk menghamburkan caci maki kepada penyanyi terbabit.

Malah, sebelum ini, Tom pernah memuat naik hantaran meluahkan rasa sedih apabila dihina kononnya tidak memiliki paras rupa menawan bahkan pernah dipanggil wanita jalang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok