SEBELUM menggenggam trofi anugerah, mengadakan konsert jelajah berskala besar atau disambar syarikat rakaman gergasi, perjalanan seseorang nama besar dalam industri muzik sebenarnya bermula sebagai penyanyi latar.
Tugas yang menuntut keharmonian suara tanpa mengatasi vokalis itu selalunya menjadi ‘sekolah’ tempat mereka mengasah bakat, menguji ketahanan mental serta memahami selok-belok dunia muzik sebenar.
Daripada sekadar memberikan sokongan vokal di belakang tabir, kelunakan suara dan ketajaman bakat mereka berjaya mencuri tumpuan penggiat muzik ternama.
Hari ini, nama-nama yang pernah berdiri di belakang itu bukan sahaja berjaya melangkah ke hadapan pentas, malah bertukar menjadi figura ikonik yang mencorak lanskap muzik Nusantara dan disanjung jutaan peminat.
Maia Estianty

Maia Estianty
MAIA Estianty pernah menjadi penyanyi latar sewaktu masih bergelar isteri kepada vokalis Dewa 19, Ahmad Dhani pada era 1990-an.
Momen yang paling mencuri perhatian apabila Maia menyanyi sambil menggendong putera sulungnya iaitu Al Ghazali.
Pada awal karier, wanita berusia 50 tahun itu membuktikan profesionalisme dan komitmennya sebagai pemuzik. Pada 1999, Maia bersama Dhani menubuhkan duo bernama Ratu.
Bagi mengisi posisi vokalis, Maia memilih Pinkan Mambo, seorang penyanyi kafe yang kemudiannya membawa kejayaan besar kepada kumpulan berkenaan.
Selepas pengunduran Pinkan, ibu tiga orang anak itu merekrut Mulan Jameela dan meledakkan Ratu ke tangga popular.
Raisa

Raisa
SEBELUM popular sebagai penyanyi solo, Raisa pernah menjadi penyanyi latar untuk kumpulan RAN di pentas acara Java Jazz Festival sekitar 2008.
Perkenalannya dengan Asta iaitu seorang anggota kumpulan RAN membuka peluang buatnya untuk masuk ke industri sehingga mendapat perhatian Universal Music.
Namanya melonjak naik selepas melancarkan single Serba Salah (2010) dari situ, Raisa, 36, terus mengukuhkan kedudukan menerusi karya-karya yang konsisten termasuk album Raisa (2011), Heart to Heart (2013), Handmade (2016), It’s Personal (2022) dan ambiVert (2025).
Dia terlibat secara langsung dalam proses produksi muzik dan bertindak sebagai produser di Juni Records.
Reza Artamevia

Reza Artamevia
REZA Artamevia merupakan antara penyanyi Indonesia bersuara unik yang bakatnya dihidu Ahmad Dhani.
Awalnya dia diminta menjadi penyanyi latar kepada Ari Lasso yang ketika itu merupakan vokalis Dewa 19.
Lagu Satu Hati dan Aku di Sini Untukmu merupakan antara dua trek popular Dewa 19 yang pernah dinyanyikannya.
Reza, 51, juga pernah menjayakan beberapa siri jelajah konsert Dewa 19. Ahmad Dhani kemudiannya menerbitkan album solo pertama Reza, Keajaiban. Album yang menampilkan lagu popular, Pertama yang kemudiannya meledak di pasaran.
Melly Goeslaw

Melly Goeslaw
MELLY Goeslaw merupakan pemuzik hebat yang terkenal dengan karya-karya yang mudah menambat hati peminat muzik Nusantara.
Dia turut digelar sebagai ‘Ratu Soundtrack’ kerana lagu-lagu ciptaannya kerap dijadikan runut bunyi (OST) untuk filem mahupun sinetron popular.
Di sebalik nama besar itu, siapa sangka isteri kepada pemuzik Anto Hoed itu juga pernah bermula sebagai penyanyi latar.
Pelantun lagu Ku Bahagia itu pernah menjadi penyanyi latar untuk kumpulan KLa Project sebelum akhirnya menubuhkan band Potret pada 1995.
