ENGGAN hidupnya terus diperhati dunia maya, pelakon Stranger Things, Sadie Sink mengambil keputusan mengehadkan penggunaan media sosial demi menjaga keseimbangan kehidupan peribadi dan kerjayanya.
Sink, 24, berkata, dia sedar sejak awal memiliki aplikasi seperti Instagram dan X (Twitter) dalam telefon bukan sesuatu yang baik untuk dirinya, terutama selepas popularitinya melonjak menerusi siri Stranger Things.
“Saya menyedari memiliki media sosial dalam telefon bukanlah perkara terbaik untuk saya. Jadi, saya tidak mempunyai aplikasi Instagram atau Twitter dalam telefon,” katanya dalam satu temu bual.
Menurut Sink lagi, dia masih menggunakan media sosial pada waktu tertentu apabila mempunyai keinginan untuk berbuat demikian, namun tidak menjadikannya sebagai rutin harian.
Katanya, keputusan mengehadkan penggunaan platform berkenaan membolehkannya ‘berehat’ daripada perhatian umum serta membuka ruang untuk menilai semula hubungan dengan media sosial.
Sink mengakui ketika Stranger Things mula ditayangkan, perhatian terhadap dirinya meningkat secara mendadak sehingga membuatkannya terkejut dengan kehidupan sebagai selebriti.
Kini, dia percaya sudah menemukan keseimbangan terbaik apabila tidak sepenuhnya menolak media sosial, tetapi pada masa sama tidak berasa perlu sentiasa aktif atau berkongsi kehidupannya kepada umum. – HIBGLAM
