SELEBRITI dan usahawan terkenal, Neelofa berharap persengketaan antaranya dengan pelakon Nur Fazura dapat dinoktahkan selepas 13 tahun berlarutan.
Demi merealisasikan hasrat itu, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 34, bersedia bertemu Fazura bagi menjernihkan hubungan mereka.
“Persengketaan ini perlu ditamatkan kerana sudah berlarutan berbelas tahun. Takkan saya hendak tunggu berpuluh tahun lagi untuk lakukan sesuatu.
“Jika diberi peluang dan ruang untuk berdamai, saya akan sambut dengan hati terbuka. Saya rasa Fazura pun akan buat benda yang sama,” katanya kepada HibGlam hari ini.
Ibu kepada dua cahaya berkenaan berkata, selama ini dia sedar ada pihak bertindak melaga-lagakan mereka.
“Saya nampak dia tidakcari fasal atau cakap apa-apa mengenai saya.
“Kadang-kala orang luar yang tiada kaitan dengan hidup kami pula yang berlebih-lebihan.
“Jika kedua-dua belah pihak boleh lakukan perkara ini (berbaik), saya rasa akan beri kesan baik kepada peminat masing-masing,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran air minuman Moma x Neelofa.
Neelofa turut mengakui sudah letih berhadapan dengan kemelut yang tidak berkesudahan dan mahu menjalani hidup dengan tenang.
“Kalau asyik diapi-apikan lagi, saya pun tidak larat untuk lalui.
“Saya pun dah letih nak hadap perkara sama kerana mahu teruskan hidup seperti biasa
“Dua-dua pun mahu teruskan hidup, buat bisnes dan sebagainya. ” ujarnya.
Perang dingin dua bintang terkenal itu tercetus di awal pembabitan Neelofa dalam industri seni.
Baru-baru ini, seorang individu dipercayai peminat tegar Neelofa menyindir Fazura dengan mendakwa pelakon itu membuka tudung dan berhibur di sebuah pusat hiburan di Jakarta, Indonesia. – HIBGLAM