AKTRES Puteri Balqis mengakui tidak gentar berdepan kecaman susulan pendedahannya mengenai sikap segelintir pelakon lelaki yang didakwa bersikap miang.
Sebaliknya, Puteri Balqis, 19, memilih untuk terus berterus-terang dan menjadi diri sendiri tanpa perlu berpura-pura menjaga imej semata-mata mahu kelihatan sempurna di mata masyarakat.
“Dedah apa kau nak dedah, gali apa kau nak gali. Itu perkara biasa yang haters dah buat pada aku bertahun-tahun.
“Aku tiada masalah kalah di mata ratusan ribu manusia. Aku tak perlu ikut cara artis lain untuk nampak ‘classy’ atau profesional,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Pelakon yang mesra disapa Aqish itu turut menegaskan bahawa dirinya tidak hidup untuk memenuhi jangkaan semua pihak, apatah lagi tunduk kepada kehendak individu yang membencinya.
Malah, dia lebih menghargai individu yang tidak pernah berpaling tadah dan terus memberikan sokongan sejak awal pembabitannya dalam industri seni.
“Aku tak hidup untuk memenuhi jangkaan semua orang. Apatah lagi untuk tunduk pada apa yang haters mahukan.
“Kalau aku terpaksa berdiri seorang, aku tetap akan jadi diri sendiri dan setia pada mereka yang tak pernah tinggalkan aku,” ujarnya.
Sebelum ini, Aqish turut meluahkan rasa kurang senang apabila mendakwa sering menerima gangguan serta amaran daripada segelintir peminat fanatik pelakon lelaki yang pernah bergandingan dengannya.
Dia juga menjelaskan tidak berminat menjalin hubungan dengan mana-mana pelakon lelaki, malah menyifatkan golongan lelaki dalam industri hiburan sebagai membosankan.
Bagaimanapun, sehingga kini Aqish tidak mendedahkan identiti atau menyebut nama mana-mana pelakon yang dimaksudkan. – KOSMO! ONLINE

