‘The Day We Start Again’ satukan penggiat filem dua negara

MENGHIMPUNKAN figura industri perfileman Hong Kong dan Malaysia, kru produksi serta pencipta kandungan digital, majlis makan malam bertemakan Young and Dangerous × XD dan filem The Day We Start Again menjadi platform istimewa mempertemukan penggiat seni daripada pelbagai generasi.

Majlis yang berlangsung di Zi Luan Ge, pusat De Jiao Hui, di sini, malam Jumaat lalu itu turut menyaksikan kehadiran tetamu daripada pelbagai latar belakang industri perfileman dan perniagaan.

Dianjurkan pengasas Xing Yu Group, Shi Guang Xing Yu dan VYBE, Dr. Kervis Soo, majlis berkenaan bukan sekadar meraikan pencapaian, malah menjadi wadah menghargai keluarga, sahabat serta penyokong yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih bermakna, pertemuan itu turut membawa semangat pulang ke kampung halaman apabila Soo mengambil kesempatan mengumpulkan semula kenalan lama dan individu yang pernah memainkan peranan dalam kehidupannya di Kluang.

Sasaran 100 meja dicapai dalam empat hari

Pada awalnya, pihak penganjur menyasarkan penyertaan 100 meja bersamaan kira-kira 1,000 tetamu, dengan sasaran itu dijangka dapat dicapai dalam tempoh tujuh hari.

Bagaimanapun, sambutan di luar jangkaan apabila sasaran berkenaan berjaya dipenuhi seawal 9 November, hanya empat hari selepas jemputan mula diedarkan pada 6 November.

Melihat sambutan memberangsangkan itu, pihak penganjur kemudian meningkatkan kapasiti majlis kepada 118 meja bagi menampung hampir 1,200 tetamu.

Sambutan hangat daripada sahabat di Kluang serta rakan kerjasama dari pelbagai kawasan menjadikan majlis berkenaan lebih bermakna apabila berjaya menghimpunkan kenalan daripada dunia perniagaan, industri perfileman dan masyarakat setempat.

Pertambahan jumlah tetamu turut menuntut penyelarasan semula dari segi susunan meja, pengurusan ketibaan serta pengisian program bagi memastikan kelancaran acara.

Menariknya, senarai jemputan bukan hanya terdiri daripada kenalan dalam dunia perniagaan atau industri perfileman, sebaliknya turut merangkumi guru-guru di Kluang, sukarelawan tempatan, saudara-mara, sahabat lama serta individu yang pernah bekerjasama dengan Soo.

Ada yang mengenalinya menerusi kejayaan sebagai pengasas Xing Yu Group dan VYBE, manakala sebahagian lagi mengenangnya sebagai anak muda yang membesar serta memulakan perjalanan hidup di Kluang.

Usaha menghubungkan semula kenalan daripada pelbagai fasa kehidupannya itu menjadi antara inti pati utama penganjuran majlis berkenaan, sekali gus membuktikan bahawa kejayaan bukan hanya diukur menerusi pencapaian kerjaya, tetapi juga hubungan yang terus terpelihara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok