DI sebalik limpahan kebahagiaan memiliki keluarga dan kehidupan yang selesa, penyanyi Eleena Harris tersentak apabila mula memikirkan sejauh mana dirinya sudah mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah sehingga nekad mengambil keputusan untuk berhijab.
Eleena, 30, berkata, penghijrahan tersebut bermula selepas melahirkan cahaya mata kedua pada Februari lalu apabila dia mula memikirkan usaha untuk memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah.
“Sejujurnya, saya agak takut juga pada mulanya, tetapi saya cuba untuk istiqamah. Saya mula memakai tudung selepas melahirkan anak kedua.
“Ketika itu, saya sangat gembira kerana sudah mempunyai anak dan kehidupan juga selesa. Saya rasa Allah sudah memberikan banyak perkara kepada saya, jadi saya mula bermuhasabah diri.
“Saya terfikir, apa lagi yang boleh saya lakukan sebagai tanda syukur kepada Allah dan untuk memperbaiki diri? Saya rasa inilah masanya untuk saya berhijrah,” katanya.
Bimbang
Bagaimanapun, pelantun lagu Terlalu Rindu itu tidak menafikan timbul perasaan bimbang untuk berhijab memandangkan dirinya dikenali sebagai anak seni.
Katanya, dia akhirnya menguatkan hati dengan menganggap keputusan tersebut sebagai urusan peribadi antara dirinya dengan Allah.
Pada mulanya, saya takut kerana orang di luar mengenali saya. Namun, akhirnya saya fikir, perkara ini adalah antara saya dengan Allah.
“Apa pun, saya perlu mencuba dan kebetulan ketika itu bulan Ramadan. Jadi, saya rasa waktu tersebut sangat sesuai. Alhamdulillah, sehingga sekarang saya masih mengekalkan imej ini.
“Ada kalanya terasa panas, tetapi saya mengingatkan diri bahawa neraka jauh lebih panas. Buat masa ini, saya cuba sedaya upaya untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik,” ujarnya.
Penghijrahan
Berkongsi proses penghijrahan, Eleena berkata, dia mengambil masa untuk membiasakan diri dengan penampilan baharu itu, termasuk mula mengenakan tudung setiap kali keluar rumah.
Malah, dia turut menjadikan TikTok sebagai antara sumber rujukan untuk mempelajari pelbagai gaya pemakaian tudung yang bersesuaian.
“Proses itu mengambil masa yang agak lama kerana banyak perkara perlu saya pelajari untuk menyesuaikan penampilan. Saya juga banyak membuat kajian sepanjang perjalanan tersebut.
“Sekarang, setiap kali membeli pakaian, saya akan memastikan baju itu berlengan panjang dan tidak ketat. Barulah saya sedar sebenarnya banyak perkara yang perlu diambil kira, sedangkan sebelum ini saya anggap remeh,” jelasnya.
Dalam pada itu, Eleena bersyukur apabila suaminya memberikan sokongan penuh terhadap keputusan untuk berhijab, selain sentiasa mengingatkannya supaya melakukan penghijrahan tersebut dengan niat yang ikhlas kerana Allah.
“Suami sangat menyokong. Dia selalu berpesan supaya apa sahaja yang saya lakukan, biarlah untuk diri sendiri, bukan kerana dia.
Selepas beberapa tahun, saya rasa sekarang adalah masa yang tepat,” katanya seraya menggulung perbualan.

