Anak mendiang Michael Jackson tuntut harta pusaka RM2.5 bilion

ANAK perempuan mendiang legenda pop dunia, Michael Jackson, Paris Jackson mencetuskan perhatian apabila memohon mahkamah mengarahkan pemindahan dana AS$600 juta (kira-kira RM2.5 bilion) daripada harta pusaka bapanya ke dalam amanah keluarga.

Paris, 28, mengambil tindakan undang-undang itu dengan alasan amanah keluarga Michael Jackson masih belum menerima dana sewajarnya meskipun sudah lebih 17 tahun bapanya meninggal dunia pada Jun 2009.

Menerusi petisyen yang difailkan di mahkamah Los Angeles pada 29 Oktober lalu, Paris mendakwa harta pusaka bapanya menjana pendapatan berbilion dolar menerusi pelbagai urusan perniagaan, penjualan aset dan hak muzik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, dia mendakwa tiada perancangan jelas dikemukakan untuk menyalurkan wang berkenaan kepada Michael Jackson Family Trust yang diwujudkan bagi manfaat dirinya serta dua adiknya, Prince Jackson dan Bigi Jackson.

Paris menegaskan bapanya pernah menetapkan supaya anak-anak mula menerima pendapatan daripada amanah masing-masing apabila berusia 21 tahun, manakala pengagihan sebahagian modal pula bermula ketika mereka mencecah usia 30 tahun.

Namun, menurut petisyen tersebut, hasrat berkenaan masih belum dilaksanakan seperti yang diharapkan walaupun tempoh sudah ditetapkan.



Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok