TEGUH merentas waktu dengan lebih 3,000 untaian lagu, empayar muzik seniman ikonik bernama Datuk M. Nasir tiada tandingan. Selayaknya digelar genius muzik, insan yang dikatakan bertanggungjawab membentuk jiwa Nusantara muzik tanah air itu bagaimanapun tersangat polos dalam satu hal.
Dalam senyuman bersahaja, beliau ‘menjatuhkan’ tembok kemegahan hayat 47 tahun berkarya dengan mengakui; “Saya tak celik IT (teknologi).”
Daripada era rakaman analog kepada penggunaan pengaturcaraan muzik, kemudian kemunculan aplikasi moden dan kecerdasan buatan (AI), perubahan teknologi terus mewarnai dunia yang menjadi lapangan seninya.
Tidak mahir mengendalikan teknologi bukan alasan untuk komposer dan penyanyi tersohor itu menolak kemudahan yang boleh membantu proses penghasilan muzik.
Sebaliknya, beliau mendapatkan bantuan individu yang lebih arif untuk mengendalikan teknologi tersebut, sementara dirinya terus meneroka idea.
Secara jujur saya mengaku, saya tak celik teknologi, tetapi saya pakai teknologi. Saya pakai orang untuk buatkan,” katanya ketika ditanya sejauh mana beliuau mengikuti perkembangan AI.
M. Nasir malah menjelaskan turut menggunakan platform muzik AI, Suno untuk menghasilkan demo dan mendengar idea yang terhasil menerusi aplikasi berkenaan.
Bagaimanapun, keterbukaan menggunakan AI tidak bermakna beliau mudah terpesona dengan hasil muzik yang dijana teknologi tersebut.
Bagi M. Nasir, kecanggihan sesuatu aplikasi tetap perlu disertai kebijaksanaan pengguna kerana kemudahan menghasilkan lagu belum menjamin mutu karya.

“Sekarang ini bergantung pada siapa yang pandai pakai. Tetap kena ada kreativiti sendiri,” ujarnya.
Beliau melihat reaksi terhadap AI sebagai sesuatu yang pernah dilalui industri ketika penggunaan program komputer mula mengambil tempat dalam penghasilan muzik.
“Mula-mula apabila program muzik masuk dalam industri kita dahulu, orang pun bising juga, samalah macam situasi AI sekarang. Tetapi lama-kelamaan, penggunaan program muzik sudah jadi ‘standard’ yang semua orang pun pakai.

“Tetapi bukan semua orang pandai pakai benda itu. Sama juga dengan AI,” jelasnya.
Salin dan tampal
Menilai hasil yang pernah didengarinya, beliau mengakui belum menemui karya muzik AI yang benar-benar mengagumkan, terutama apabila bunyi dan tona kedengaran hampir serupa.
“Benda sama sahaja. Salin dan tampal apa yang ada. Kalau mahu cipta sebuah lagu yang sedap, kena ada idea.
Dalam industri filem, mereka gunakan imej janaan komputer (CGI), tapi jika tidak pandai guna, hasil CGI kurang menjadi dan mudah dikesan biarpun menggunakan teknologi canggih. Samalah AI dalam muzik,” tuturnya.
Mengenai kesan AI terhadap industri muzik, M. Nasir akui tugasan seperti nyanyian demo turut terjejas, namun penyanyi masih perlu menyanyi bagi rakaman yang memerlukan persembahan mereka sendiri.
Beralih kepada perjalanan hidup, pertanyaan mengenai titik paling rendah sepanjang bergelar pengkarya disambut dengan jawapan ringkas. M. Nasir ternyata sukar mengenal pasti pengalaman tertentu untuk dikongsikan.
Diajukan kemungkinan pernah berdepan penolakan, bayaran kecil atau dipandang sebelah mata, beliau tidak melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang perlu ditangisi.
“Tak adalah nak sedih benda-benda begitu. Saya ikut sahaja aturan Tuhan.
“Cuma, sebagai seorang penyanyi, perjalanan karier dan kehidupan memang tidak mudah.
Konsert
Disoal juga, apa lagi yang membuatkan beliau masih naik ke pentas selepas puluhan tahun menghiburkan peminat dan menjayakan pelbagai konsert?
Jelas M. Nasir, pekerjaan sebagai penyanyi ‘istimewa’ kerana tiada tempoh persaraan wajib. Justeru, beliau bersedia meneruskan persembahan selagi khidmat dan kemampuannya diperlukan, sekali gus menjawab mengapa deretan konsert belum menjadi noktah perjalanan seninya.
“Selagi saya boleh digunakan, saya akan lakukan. Kalau dah tak boleh, kita fikir jalan lain pula,” ujarnya.
Beliau juga menjelaskan bahawa kepuasan mencipta lagu daripada sesuatu yang belum wujud sehingga menjadi karya yang disukai pendengar membuatkannya sukar membayangkan persaraan.

Saya jenis yang tidak boleh duduk diam tanpa menghasilkan sesuatu dalam bidang seni, tidak kisahlah berkonsert, menyanyi atau mencipta lagu. Jadi, selagi peminat masih mahu melihat saya, okey, saya teruslah buat konsert selagi ada hayat dan kemampuan,” luahnya.
Dalam pada itu, beliau bakal muncul menerusi Konsert Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 pada 5 Disember 2026, pukul 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.
“Mungkin saya akan menyanyikan sekitar 30 buah lagu kerana lagu saya terlalu banyak. Walaupun sudah buat banyak konsert, banyak lagi lagu yang belum didendangkan dalam konsert.
“Jadi, nantikan, ada juga kejutan buat peminat yang hadir,” katanya tertawa panjang.
BAKAL menutup 2026 dengan Konsert Magnus Opus: M. Nasir Dekad Ke-5, peminat dijanjikan tetap ada kejutan.

