SELEPAS lapan tahun mencetuskan fenomena menerusi filem komedi romantik Crazy Rich Asians, kisah keluarga kaya raya itu bakal kembali menghiasi layar hiburan menerusi sebuah siri televisyen terbitan HBO.
Lebih mengujakan, siri susulan berjudul Crazy Rich Asians itu bakal menampilkan semula barisan pelakon asal termasuk Constance Wu, Henry Golding, Ronny Chieng dan Michelle Yeoh, sekali gus mengubat kerinduan peminat terhadap watak-watak ikonik berkenaan.
Siri berdurasi sejam bagi setiap episod itu dijadualkan memulakan penggambaran pada 2027, dengan Constance dan Henry kembali menghidupkan watak pasangan utama, Rachel Chu dan Nick Young, manakala Ronny mengulangi watak Eddie, sepupu Nick.
Di sebalik perkembangan tersebut, Adele Lim, penulis bersama skrip filem asal, diberi tanggungjawab sebagai peneraju siri atau showrunner, selain bertindak sebagai penerbit eksekutif bersama pengarah filem berkenaan, Jon M. Chu, Nina Jacobson, Brad Simpson dan penulis novel asal, Kevin Kwan.
Menurut Adele, projek berkenaan ibarat pertemuan semula keluarga besar Crazy Rich Asians, malah memberi ruang lebih luas untuk meneroka karakter serta dunia ciptaan Kevin menerusi beberapa episod.
Ini benar-benar pertemuan semula keluarga Crazy Rich Asians! Siri ini ialah kesinambungan dinanti-nantikan peminat.
“Bezanya, kali ini kita bukan sekadar menghasilkan sebuah filem, sebaliknya mempunyai lapan episod untuk menyelami watak dan dunia menarik dalam novel Kevin Kwan.
“Bilik penulis kami sedang rancak menghasilkan idea dan kami tidak sabar untuk berkongsi hasilnya dengan penonton,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Jon mengakui filem berkenaan membawa perubahan besar dalam kehidupannya, selain menghargai perjalanan kerjaya barisan pelakon sejak naskhah tersebut ditayangkan pada 2018.
Lapan tahun lalu, Crazy Rich Asians mengubah hidup saya. Saya berpeluang menghasilkan filem itu bersama sekumpulan individu paling kreatif dan mencuit hati pernah saya kenali.
“Sejak itu, barisan pelakonnya berkembang menjadi bintang filem, adiwira, penghibur pentas besar malah pemenang Oscar. Jadi, dapat menghimpunkan mereka semula terasa seperti pulang ke rumah sendiri,” ujarnya.
Untuk rekod, Crazy Rich Asians ditayangkan pada Ogos 2018 dan mencatat kutipan kira-kira AS$239 juta (RM1 bilion) di seluruh dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem komedi romantik Hollywood paling berjaya.
Filem berkenaan turut dibintangi Awkwafina, Gemma Chan, Lisa Lu dan Ken Jeong.
Bagaimanapun, belum ada pengesahan sama ada mereka akan kembali menjayakan siri berkenaan.
Kisah keluarga Young mula mendapat perhatian menerusi novel Crazy Rich Asians terbitan 2013, sebelum Kevin meneruskan naratif tersebut menerusi dua lagi buku, China Rich Girlfriend (2015) dan Rich People Problems (2017).
Warner Bros. sebelum ini turut merancang menghasilkan sekuel dalam bentuk filem selepas kejayaan naskhah pertama, namun projek tersebut beberapa kali tertangguh sebelum perkembangan terbaharu mengenai siri HBO diumumkan. – HIBGLAM

