‘Jangan anggap semua lelaki sama hanya kerana trauma lalu’

SELEPAS melalui pelbagai liku kehidupan, pelakon Nad Zainal meluahkan rasa syukur dikurniakan suami penyayang, Ungku Ismail yang sentiasa mengambil berat kebajikan dirinya serta anak-anak.

Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 36, menyifatkan suaminya sebagai seorang lelaki berhati lembut dan bertanggungjawab termasuk menyediakan pembantu rumah.

Alhamdulillah, suami sanggup menyediakan pembantu rumah kerana saya sakit. Dia juga membantu menguruskan pendaftaran anak untuk memasuki darjah satu serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) kerana bimbang keselamatan kami ketika tidur di rumah selepas saya baru pulang dari hospital.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia juga membantu Yem (anak sulung) belajar sehingga berjaya naik kelas. Memang dia nampak garang, tetapi sebenarnya berhati lembut. Malah, dia lebih banyak bercakap berbanding saya,” katanya dalam Threads.

Tambahnya, keprihatinan suaminya dalam menguruskan keluarga membuatkan dirinya lebih menghargai kehadiran seorang pasangan hidup, terutama selepas melalui pengalaman perkahwinan terdahulu.

Dalam masa sama, pelakon drama Bahagia Yang Tertangguh itu turut menitipkan pesanan kepada wanita agar tidak menutup hati untuk mencari kebahagiaan hanya disebabkan pengalaman pahit bersama lelaki terdahulu.

Tidak mengapa jika memilih untuk hidup solo, tetapi jangan sesekali menganggap semua lelaki sama hanya kerana pernah mengalami trauma dengan seorang lelaki.

“Itulah versi saya dalam Bahagia Yang Tertangguh.

“Rezeki seorang isteri apabila dikurniakan suami yang mengangkat darjatnya dan mencintainya sepenuh hati. Hati isteri tenang, rumah tangga pun harmoni,” ujarnya.

Perkongsian tersebut turut menyentuh hati netizen, malah ramai berpendapat kehadiran pasangan bertanggungjawab mampu memberikan ketenangan serta keharmonian dalam kehidupan berumah tangga.

“Bahagia itu apabila ada pasangan yang bukan sahaja hadir ketika senang, malah sanggup memikul tanggungjawab bersama ketika kita sedang diuji,” tulis seorang lagi netizen.

“Semoga Nad dan keluarga terus bahagia. Tidak semua orang mendapat pasangan yang memahami dan sanggup membantu tanpa berkira,” ujar seorang peminat.

Untuk rekod, Nad mendirikan rumah tangga bersama Ungku Ismail pada 23 Januari 2023.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ungku Indra Puteh Al Majid, berusia tiga tahun.

Nad turut mempunyai dua cahaya mata, Fahad Ibrahim, 10, dan Budi Kalsom, lima tahun, hasil perkahwinan terdahulu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok