‘Allah gantikan kesedihan Bella dengan insan jauh lebih baik’

PELAKON dan penyanyi sensasi, Janna Nick meluahkan rasa terharu apabila Bella Astillah akhirnya dipertemukan jodoh dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Janna atau nama penuhnya Nurul Jannah binti Muner, 31, berkata, dia sebak mengenangkan luahan hati Bella yang pernah menangis di majlis ulang tahun perkahwinannya dua tahun lalu kerana mengimpikan pasangan yang mampu membahagiakannya.

“Saya sebenarnya tidak sangka rupa-rupanya dia menangis ketika malam sambutan ulang tahun perkahwinan saya dahulu dan dia sendiri cerita hal itu ketika kami berjumpa di acara perlumbaan Formula One (F1) baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya sangat sebak hingga menitiskan air mata ketika dapat tahu. Sepatutnya saya mahu meraikan kegembiraan dengan para tetamu tetapi dia pula menanggung kesedihan.

“Namun alhamdulillah Allah SWT menggantikan kesedihan itu dengan insan yang jauh lebih baik. Saya mendoakan semoga perkahwinan Syed Saddiq dan Bella kekal bahagia sampai ke syurga,” katanya ketika ditemui pada Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT2026), semalam.

Dalam pada itu, isteri kepada pelakon Dini Schatzmann itu mengakui berasa ralat apabila terpaksa melepaskan peluang menghadiri majlis resepsi perkahwinan Bella berikutan komitmen kerja di AMT2026.

“Sepatutnya saya diundang ke majlisnya juga tetapi agak terkilan apabila tidak dapat hadir ke majlis resepsi mereka. Kalau boleh dibelah dua badan ini kerana mahu ada di kedua-dua majlis serentak.

“Namun, disebabkan saya sudah membuat persetujuan lebih awal, berjanji untuk hadir ke sini sebagai penyampai anugerah.

“Kalau sekadar tercalon, mungkin saya sudah berada di sana bersama Bella tetapi tetap gembira kerana berpeluang bertemu rakan-rakan industri hari ini yang sudah lama tidak berjumpa,” jelasnya.

Terdahulu, sebuah video memaparkan Bella menangis sambil menyatakan ‘I want one’ (saya mahu seorang pasangan) ketika menghadiri majlis kesyukuran ulang tahun perkahwinan Janna dan Dini sekitar dua tahun lalu kembali tular dalam media sosial baru-baru ini.

Kebanyakan netizen menyifatkan perkara yang disebut Bella malam tersebut sebagai satu doa yang dimakbulkan Tuhan.

Dalam perkembangan lain, Janna dan Dini turut memenangi trofi bagi kategori Selebriti Couple Goals Terhangat AMT2026 semalam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok