TIDAK perlu diragukan (baga), gemerlap pentas berprestij Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila menjadi medan pengiktirafan tertinggi buat karyawan seni tanah air. Bukan sekadar naskhah yang meruntun jiwa dan menggegar emosi, penganjuran edisi kali ini menjadi saksi kebangkitan luar biasa sinema tempatan ke tahap lebih membanggakan.
Malam kemuncak yang penuh warna-warni dan sarat dengan momen menyentuh jiwa itu menyaksikan naskhah seram berjiwa drama, Khadam muncul sebagai ‘juara keseluruhan’ apabila membolot sepuluh daripada 12 trofi dipertandingkan termasuk anugerah utama, Filem Terbaik selain membawa pulang geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta berserta trofi.
Kemenangan besar filem terbitan Red Communications tersebut sekali gus meletakkan pengarahnya, Shamyl Othman yang juga Pengarah Terbaik FFM35 dalam kelas tersendiri apabila percubaan beraninya meneroka genre seram penuh dramatik diiktiraf barisan juri.

FILEM Khadam memang besar pada FFM35 dengan 10 kategori termasuk trofi Filem Terbaik yang melayakkan pasukan rumah produksi diterajui Lina Tan itu pulang dengan geran DKK berjumlah RM1 juta.
Mengakui tidak meletakkan harapan tinggi pada awalnya, Shamyl menyifatkan pengiktirafan itu sebagai kejutan besar, apatah lagi membuktikan kemampuannya lari dari bayang-bayang bapanya yang cukup dikenali sebagai sutradara legenda tanah air, Othman Hafsham.
“Kalau sudah masuk menjadi finalis Top 5 sahaja pun sudah cukup gembira kerana diiktiraf sampai ke tahap itu.
“Bila filem ini mula menang satu demi satu kategori, baru timbul persoalan dalam hati mungkinkah kita berpeluang menang Filem Terbaik. Apabila Khadam diumumkan, saya benar-benar terkejut dan amat berterima kasih kepada barisan juri.
“Khadam memang filem seram tetapi intipati utamanya adalah drama yang menyentuh hati tentang wanita, ke manakah arah tuju mereka apabila dilanda masalah, sama ada memilih jalan mistik atau mencari pertolongan yang betul. Kekuatan drama itulah yang berjaya menembusi persepsi biasa penonton dan juri,” katanya.

GANDINGAN hos FFM35, Datuk Afdlin Shauki dan Amelia Henderson dilihat sudah cuba beraksi sebaik mungkin namun tetap menjadi bahan kecaman dalam media sosial.
‘Harap bapa bangga’
Tambahnya, membesar di set penggambaran sejak berusia tujuh tahun banyak membentuk jiwanya dalam dunia perfileman.
“Walaupun bapa dikenali sebagai Raja Komedi dan saya pula memilih laluan karya yang lebih serius namun dorongan keluarga adalah tunjang utama saya berada di sini hari ini.
“Saya cuma berharap ayah berbangga dengan pencapaian ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, penerbitnya, Lina Tan turut menzahirkan penghargaan tertinggi buat penulis skrip filem berkenaan, Fariza Azlina Isahak yang disifatkan sebagai tulang belakang kejayaan naskhah itu.
“Saya kena beri penghargaan kepada penulisnya, Fariza. Cerita ini mengenai seorang ibu dan dia sendiri adalah seorang ibu yang membawa jiwa serta emosi mendalam ke dalam naskhah ini.
“Semuanya bermula daripada penulisan manusia yang tidak mampu ditiru oleh mesin kecerdasan buatan (AI), sebelum diterjemahkan dengan cukup baik oleh pasukan produksi bawah teraju Shamyl,” tuturnya.

BERBEZA dengan bapanya Othman Hafsham yang diberi jolokan Raja Komedi, Shamyl menang Pengarah Terbaik menerusi genre seram, Khadam.
Magis bapa, anak berulang
Sementara itu, kategori lakonan utama pula mencipta momen manis apabila filem Badak arahan M. Raihan Halim turut menyerlah menerusi kemenangan Shaheizy Sam dan Aida Amron masing-masing bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.
Kemenangan gandingan watak bapa dan anak dalam filem itu sekali gus mengulangi magis sama yang pernah dilakar menerusi naskhah Babah sebelum ini.
Bagi Sam, trofi tersebut amat bermakna memandangkan persaingan dilihat sangat sengit untuk kategori itu.
“Terima kasih juga kepada para juri yang merasakan saya layak terima anugerah ini. Dalam lakonan, saya percaya tak ada salah atau betul.
PELAKON Aila Azizul mencipta sejarah tersendiri menerusi filem Malam Terlarang apabila mengetepikan barisan pelakon hebat lain untuk trofi Pelakon Harapan, seiring dengan Mierul Aiman (Tarung: Unforgiven) yang menepati ramalan ramai.
“Setiap pelakon yang bersaing dalam kategori ini sangat, alhamdulillah untuk rezeki ini,” katanya yang turut memuji M. Raihan yang menghasilkan naskhah luar biasa.
Dalam pada itu, Sam mendedahkan proses pertambahan berat badan lebih 30 kilogram (kg) untuk watak Badak yang juga orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak memberi kesan mendalam terhadap tahap kesihatannya hingga membuatkannya nekad untuk tidak lagi kembali kepada transformasi fizikal sebegitu.
“Proses menjayakan Badak memberi impak besar dan menyedarkan saya bahawa saya tidak boleh pergi ke tahap itu lagi. Terutamanya dari segi fizikal kerana saya berasa sangat tidak sihat ketika berat mencecah hampir 100kg,” jelasnya.
‘DUA beranak’ dalam Badak, Sam dan Aida sama-sama cemerlang apabila dipilih sebagai Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik FFM35.
Mengulas kemenangan Aida yang membawa watak anaknya dan turut meraih trofi pelakon wanita terbaik, Sam menyifatkan bakat besar pelakon muda itu sememangnya layak diiktiraf.
“Kita tahu dia ada darah daging seorang seniwati. Jadi, memang tidak mustahil untuk dia menang.
“Malah selepas menonton Badak, saya memang merasakan dia sangat layak,” ujarnya yang turut menghadiahkan 100 piza percuma di restoran miliknya pada Ahad lalu atas kemenangan yang diraih.
Bagi Aida pula, kemenangan sulung di pentas berprestij FFM35 hadir di luar jangkaan memandangkan dia berdepan saingan pelakon filem yang jauh lebih berpengalaman.
“Saya tidak menjangkakan kemenangan ini kerana berasakan pelakon lain yang sudah beberapa kali membintangi filem jauh lebih berhak.
“Ini pencalonan pertama saya dan saya fikir perjalanan masih jauh tetapi tidak sangka dapat menang trofi ini,” katanya sebak.
Adik kepada aktres Nadiya Nisaa itu turut menzahirkan penghargaan kepada pihak yang mempercayai bakatnya meskipun pada awalnya kurang yakin dengan kemampuan sendiri.
“Saya sebenarnya tidak jumpa lagi perkara itu dalam diri saya, tetapi orang lain yang nampak. Terima kasih sangat sebab percaya kepada orang yang kurang percaya pada diri sendiri.
“Kita memang memerlukan orang yang percayakan kita supaya lebih ke depan dan tahu siapa diri kita sebenarnya,” tuturnya.

OGY menyifatkan trofi Anugerah Sepanjang Zaman sungguh indah kerana diterima sewaktu hayatnya masih ada.
Kejutan, legasi seni
Malam anugerah FFM35 turut menyaksikan seniwati tersohor, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy menerima pengiktirafan Anugerah Khas Sepanjang Zaman yang disifatkan amat bertepatan dengan pengabdian lima dekadnya sebagai anak seni.
Ogy membikin seluruh isi Panggung Sari, Istana Budaya sebak bergenang air mata dengan ucapan yang menyentuh jiwa.
“Paling bermakna adalah ketika kita masih bernafas lagilah, masih bernyawa dan dihargai. Itu sangat indah. Trofi ini rezeki dan rahsia Tuhan. Hanya Dia saja yang tahu kenapa serta mengapa Fauziah Ahmad Daud harus mendapat anugerah sebegini.
“Mak, saya dapat ini kerana mak,” ujarnya yang turut membawa pulang RM10,000 berserta trofi.
Selain Ogy, trofi Anugerah Khas Sepanjang Zaman turut disampaikan kepada bintang legenda, Ahmad Yatim.
Aktres Indonesia, Aghniny Haque yang juga teraju Khadam dan filem Badak diumumkan menerima Anugerah Khas Juri.

TIDAK boleh tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik, penghayatan cemerlang bintang Seberang, Aghniny Haque sebagai wanita bisu dalam Khadam melayakkan dirinya menjadi penerima Anugerah Khas Juri FFM35.
Penerima Anugerah Khas Karyawan pula diberikan kepada Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Panchacharam P. Nalliah.
Selain itu, kejutan turut berlaku dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik apabila Zarra Zhaf atau nama penuhnya, Ezarra Nurzhaffira Ahmad Aizat Fitri mewakili Khadam berjaya menewaskan nama besar seperti Sofia Jane dan Sara Ali dalam kategori sama.

SELEPAS Jagat yang bertanding dalam FFM 10 tahun lalu, Kuben Mahadevan muncul dengan Macai yang menjulangnya sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM35.
Manakala bintang baharu, Aila Azizul pula mencipta sejarah tersendiri menerusi filem Malam Terlarang apabila mengetepikan barisan pelakon hebat lain untuk trofi Pelakon Harapan, seiring dengan Mierul Aiman (Tarung: Unforgiven) yang menepati ramalan ramai.

PERJALANAN seni Mierul Aiman diiktiraf sebagai Pelakon Lelaki Harapan menerusi Tarung: Unforgiven.
Acara turut dimeriahkan dengan persembahan bertenaga daripada barisan penyanyi seperti Kaka Azraff, Alpha dan Hazama, masing-masing menghangatkan pentas dengan lagu-lagu latar dan skor muzik pembangkit rasa daripada karya-karya yang pernah mengisi emosi perfileman nasional sejak berdekad lalu.

Zarra Zhaf mencipta kejayaan peribadi menjadi bintang termuda menang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.



