PELAKON Sweet Qismina mengingatkan orang ramai agar lebih menjaga tutur kata dan sensitiviti ketika menyentuh soal zuriat, khususnya terhadap pasangan suami isteri yang sedang berikhtiar mendapatkan cahaya mata menerusi kaedah Trying To Conceive (TTC).
Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 29, berkata, perihal berkaitan zuriat bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng kerana setiap pasangan mengharapkan dikurniakan cahaya mata sendiri.
“Kadang ada yang terlepas cakap, rasa benda itu remeh, tetapi orang yang mengalaminya tidak rasa perkara itu remeh. Ada yang rasa benda itu tidak sensitif, tetapi orang yang lalui akan rasa sensitif sebab kita tidak berada di tempat mereka.
Memuatkan artikel berkaitan…
“TTC ini sangat sensitif. Saya sendiri terbuka apabila orang bertanya, tetapi mungkin ada sesetengah orang yang betul-betul mahukan zuriat dan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya,” katanya yang ditemui pada Program Pesona Sinema sempena Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau semalam.
Bercerita lanjut, isteri kepada aktor Adam Lee itu turut berkongsi bagaimana dirinya tersentuh melihat kisah pasangan yang akhirnya dikurniakan cahaya mata selepas bertahun-tahun menjalani TTC termasuk pelawak, Achey dan isterinya.
“Kita tengok ada yang sudah 10 tahun dan baru-baru ini kita dapat berita gembira mengenai Abang Achey yang akhirnya mendapat zuriat selepas 15 tahun.
“Apabila tengok video dia, saya rasa sebak. Kak Anne (isteri Achey) sampai pergi ke Mekah dan menghadap Kaabah untuk meminta sesuatu. Itu hanya kita dengan Allah yang tahu betapa sakitnya apabila setiap kali mencuba, tetapi belum berjaya.
Diminta mengulas mengenai tindakan segelintir individu yang sering berkongsi perjalanan TTC dalam media sosial, Sweet berpendapat sebaiknya menjaga privasi kehidupan masing-masing kerana dirinya percaya kewujudan tentang penyakit ain.
“Kadang-kadang kita tidak sedar. Contohnya saya suka berkongsi momen gembira bersama Adam atau perjalanan mencuba TTC. Apabila tidak berjaya, kita tidak tahu mungkin penyakit ain itu ada. Jadi, lebih baik kita simpan dan jaga privasi kehidupan sendiri.
“Kita tidak tahu siapa yang mendoakan perkara baik atau negatif terhadap kita. Kalau ditanya sama ada saya setuju pasangan yang sedang TTC tidak perlu bercerita kepada orang lain, sangat setuju. Walaupun keluarga sendiri, kita tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka. Jadi, lebih baik berhati-hati,” ujarnya.
Untuk rekod, Sweet dan Adam yang mendirikan rumah tangga pada Oktober 2022, bagaimanapun mereka belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata. – HIBGLAM

