MENGINJAK usia 40 tahun, hayat seni Mimifly semakin bersinar apabila kemunculan semulanya dalam industri disambut baik, sekali gus membuktikan namanya masih punya tempat di hati peminat.
Kembali aktif dengan semangat baharu, pemilik nama sebenar Shamimi Amalina Norhisham itu ternyata tidak mahu sekadar berada di takuk lama.
Melahirkan rasa syukur dan bangga atas sokongan berterusan peminat, pelantun lagu Angkat itu bertekad memastikan momentum cemerlang yang sedang dikecapi kini tidak terhenti di pertengahan jalan.
“Alhamdulillah, saya sudah berjanji pada diri sendiri, sebaik sahaja membuat kemunculan semula dalam industri, semua ini perlu diteruskan. Insya-Allah mahu kekal memberikan yang terbaik selagi terdaya.
“Saya jenis yang lebih suka dahagakan untuk lakukan sesuatu tetapi dalam masa sama mahu sentiasa merendah diri, berlapang dada untuk menambah ilmu dan memantapkan kemahiran,” katanya kepada HibGlam.
Prinsip tidak mudah berpuas hati dalam melakukan segala hal juga dijadikan pendorong semangatnya untuk terus memperbaiki kualiti kerja pada masa akan datang.
“Betapa bersyukurnya kerana sekarang saya berpeluang menjalani kehidupan terbaik yang diimpikan selama ini.
“Cuma saya sentiasa berada di tengah-tengah dan perlu kekal beringat agar tak mudah mendabik dada, kalau tersalah arah, jatuh terduduk.
“Saya tak mahu terlalu selesa dengan apa yang sudah diraih hari ini tetapi bersyukur dengan pencapaian dan kedudukan sekarang,” katanya lagi.

MERAIH banyak pengiktifaran dan kemanisan dalam karier pada usia 40 tahun, tiada kata yang dirasakan Mimifly ketika ini selain mensyukuri keindahan susunan Tuhan buat dirinya.
Momentum
Tidak semudah mematahkan pensil, momentum kerjayanya yang meroket ketika ini hadir bersama tuntutan kerja dan tanggungjawab berat yang memerah jangkaan lebih tinggi terhadap karya seninya daripada umum.
“Tanggungjawab semakin besar dan itu memang muncul secara automatik daripada setiap kejayaan yang dimiliki sebelum ini.
“Apa yang saya boleh buat adalah terus fokus dan bekerja keras.
“Saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara ini dan perlu terus bergerak ke hadapan tetapi sesekali, apabila menoleh ke belakang, pasti akan terdetik dalam hati, Tuhan, inilah kehidupan yang saya pernah minta dahulu, alhamdulillah,” jelasnya.
Sibuk dengan kerjaya seni sehingga membataskan rutin dan aktiviti seharian, pesanan seorang ibu tetap menjadi kompas hidup yang mengingatkannya agar sentiasa membumi serta berhati-hati dalam melakukan setiap perkara.
“Mama (panggilan buat ibu) selalu cakap, jangan merungut, hati-hati dan jaga diri. Dia juga sering ingatkan saya supaya jaga keperibadian dan tumpukan perkara yang perlu diutamakan.
“Jaga pemikiran dan cara kita melihat sesuatu perkara, kerana inilah kehidupan yang saya pernah impikan.
“Syukur saya dikurniakan individu yang sentiasa mengingatkan dan menyokong dalam apa sahaja keadaan,” ujarnya.

MIMIFLY kini muncul dengan sebuah lagu baharu, Gertak yang memasukkan keindahan warna-warni Deepavali sebagai konsep video muziknya.
Gertak
Ketika masih mempunyai komitmen dengan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM), halaman muziknya tidak dibiarkan kosong apabila tetap merencanakan agenda peribadi menerusi single baharu berjudul Gertak yang mengetengahkan irama dan budaya masyarakat India.
“Lagu Gertak adalah karya yang menyeronokkan dan sebuah karya yang memang direka untuk membuatkan kita menari.
“Kebetulan ketika mahu melancarkan lagu itu, tarikhnya sekitar bulan Deepavali. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menghasilkan konsep yang mengangkat budaya India di Malaysia.
“Bukan bermaksud saya mahu menunjukkan seolah-olah mengamalkan agama atau menyambut perayaan Deepavali tetapi hanya mahu mengetengahkan budaya masyarakat India yang ada di Malaysia,” jelasnya.
Sentuhan peribadi Mimi turut terserlah menerusi konsep visual muzik video lagu berkenaan yang lari daripada kebiasaan.
“Apabila digabungkan dengan lagu dan konsep sebegitu, akhirnya saya dapat merealisasikan impian untuk menghasilkan muzik video dengan ramai orang yang bukan hanya kelihatan seperti penari. Semuanya cantik dan berpakaian menarik.
“Saya memang mahu perkara seperti itu ada dalam muzik video dan akhirnya dapat dilaksanakan. Alhamdulillah, saya mempunyai pasukan yang baik dan sangat menghargai mereka kerana berjaya merealisasikan impian serta idea saya,” ujarnya lagi.

MENANG lima trofi Anugerah Industri Muzik ke-25 dan debut dalam muzikal ikonik, PGLM merupakan pencapaian termahal, bahkan boleh dikatakan sebagai ‘kemuncak destinasi’ karier selama hayat seorang Mimifly.
Bayan, teater
Beralih kepada penglihatannya sebagai Bayan dalam pementasan PGLM, bekas anggota kumpulan One Nation Emcees itu mengakui peluang tersebut sememang sebuah lembaran baharu dalam kariernya.
“Ketika menghasilkan lagu Nara untuk Honor of Kings, yang berdasarkan karakter Puteri Gunung Ledang (PGL) untuk sebuah permainan video, saya sudah mula membayangkan tentang PGL dan segala perkara berkaitan dengannya.
“Jadi, apabila saya diumumkan dapat watak Bayan, memang benar-benar terdiam. Saya tidak menyangka perkara yang dibayangkan selama ini jadi kenyataan,” katanya.
Penglibatan dalam teater muzikal itu juga melengkapkan portfolio seninya sekali gus merealisasikan sasaran peribadi menjelang usia empat dekad.
“Begitu indah dan manis apabila menjelang usia 40 tahun, teater muzikal adalah perkara yang belum pernah saya dilakukan sebelum ini.
“Selepas ini, saya boleh menggelarkan diri sebagai penghibur serba boleh kerana sudah menari, membuat persembahan, menghasilkan lagu, menerbitkan muzik video dan pelatih.
“Itu memang matlamat saya dan akhirnya berjaya mencapainya, semua ini sangat sentimental buat diri sendiri,” ujarnya yang mencipta fenomena dengan dengan lagu raya, Serumpun tahun lalu.
Kongsinya, peluang menjayakan watak Bayan bersama produksi Enfiniti dan bimbingan Nadia Aqilah dirasakan begitu magis, seolah-olah memberi gambaran kelahiran semulanya dalam industri seni dengan naratif yang lebih matang.
“Secara jujurnya, pengalaman ini terasa seperti tidak nyata.
“Orang selalu cakap apabila sudah berusia 40 tahun, kita akan mencapai satu tahap kematangan tertentu dan sepertinya saya sedang melaluinya sekarang.
“Rasa sangat gembira dapat melakukannya bersama Enfiniti dan Nadia kerana banyak perkara yang saya pelajari untuk PGLM.
“Sejujurnya, terlalu indah, apabila melihat bagaimana Tuhan sudah menyusun semuanya,” tutup Mimi.

MENGENANGKAN banyak pencapaian yang diraih sepanjang tahun ini,Mimifly sejujurna mengakui seperti masih tidak percaya dengan susunan indah Tuhan buat dirinya.

