CEF selebriti juga usahawan popular, Datuk Fazley Yaakob mempertahankan Aina Abdul selepas nama penyanyi wanita itu dijenakan Datuk Afdlin Shauki semasa mengacarakan malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), malam tadi.
Fazley, 48, menyifatkan Aina sebagai figura seni yang memainkan peranan penting dalam memartabatkan industri muzik tanah air, justeru tidak wajar dijadikan sasaran sindiran berhubung penampilan mahupun busananya.
“Aina Abdul tetap nama penting untuk industri muzik tempatan. ‘Kalau tak ada tak apalah’ bukan caranya untuk menjentik urat ketawa hadirin.
Mengkritik busana samalah macam menghina badan apabila melibatkan dirinya.
“Zaman lawak kurang cerdik dah berlalu. Marilah kita beralih kepada jenaka yang ada kebijaksanaan sikit,” katanya dalam Threads.
Tegas pelantun lagu Asmara Ini itu, pencapaian membanggakan Aina di pentas antarabangsa sepatutnya diraikan, bukan diperlekehkan dengan lawak yang disifatkan tidak sensitif.
“Contohnya ‘Tahniah Aina Abdul’.
“Tak kisahlah tempat keempat asalkan bukan empat tahun sekali baru kita buat anugerah untuk hargai bakat anak seni sendiri,” ujarnya.
Sejak malam tadi, Afdlin dikecam teruk apabila disifatkan keterlaluan menjenakakan Aina Abdul biapun penyanyi itu tiada pada malam FFM35.
Dalam nada berseloroh, Afdlin meminta sesiapa yang memakai baju persis Aina untuk duduk di belakang dewan kerana bimbang menghalang pandangan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil. – HIBGLAM

