INDUSTRI tidak pernah sepi daripada menerima ramai pendatang baharu terutamanya individu yang berbakat. Seorang pempengaruh bernama Nashkay kini meneroka bidang muzik dan mempertaruhkan single terbaharu berjudul Rela Lepaskan.
Nashkay atau nama lengkapnya Siti Nur Nashrah, 33, menganggap muzik sebagai satu daripada ruang untuk mengembangkan potensi diri tanpa perlu mengetepikan platform digital yang sudah dibina.
“Buat masa sekarang, fokus utama saya masih pada dunia digital dan membina jenama Nashkay.
“Saya melihat muzik sebagai satu lagi peluang untuk meneroka kreativiti serta menimba pengalaman baharu.
“Dalam masa sama, saya mahu terus mengembangkan apa yang sudah dibina dalam media sosial, termasuk membuka lebih banyak peluang dalam bidang perniagaan pada masa akan datang,” katanya.
Nashkay bagaimanapun melihat populariti dalam media sosial dan pembinaan kerjaya sebagai penyanyi memerlukan pendekatan berbeza kerana jumlah pengikut semata-mata tidak menjamin penerimaan pendengar.
Berkongsi mengenai single terbaharunya, Nashkay tertarik untuk menjayakan lagu berkenaan kerana mesej yang disampaikan mempunyai makna tersendiri dan dekat dengan pengalaman kehidupan setiap individu.
“Ketika pertama kali mendengar lagu ini, saya berasakan mesejnya cukup dekat dengan kehidupan.
“Setiap orang pasti melalui pelbagai perkara yang mengajar kita tentang penerimaan, kekuatan dan bagaimana untuk terus melangkah ke hadapan.
“Sebab itu saya terbuka untuk menerima lagu ini. Bagi saya, muzik merupakan satu medium untuk menyampaikan perasaan yang mungkin sukar diungkapkan dengan kata-kata,” katanya lagi.
Mengangkat tema perpisahan, penerimaan dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan, lagu berkenaan membawa mesej bahawa melepaskan sesuatu bukan semestinya bermaksud melupakan, sebaliknya sebahagian daripada proses menerima kenyataan.
Menariknya, mesej yang dibawa menerusi Rela Lepaskan tidak hanya terikat kepada kisah percintaan, sebaliknya boleh ditafsirkan secara lebih luas mengikut pengalaman setiap pendengar.
Dilancarkan pada Ogos 2026, lagu nyanyian Nashkay bersama Aseng AXA Band itu merupakan hasil ciptaan komposer dan penulis lirik, Faez Jantan, manakala susunan muzik dihasilkan Afiq Bruno.
Single Rela Lepaskan nyanyian Nashkay bersama Aseng AXA Band kini boleh didengarkan menerusi platform penstriman digital, manakala muzik videonya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Awal Muzik Entertainment.

