DERETAN nama besar industri muzik tanah air termasuk dua ikon rock, Ella dan Datuk Amy bakal menggegarkan program Rentak Budaya 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November ini.
Bertempat di River of Life dan Padang Merbok, Kuala Lumpur, festival berkenaan bukan sekadar menawarkan hiburan pentas, sebaliknya menghimpunkan pelbagai pengisian seni, budaya dan warisan dalam usaha mendekatkan khazanah tempatan kepada pelbagai generasi.
Selain Ella dan Amy, pentas utama di Padang Merbok turut menampilkan persembahan Kaka Azraff, Haziq Rosebi serta Rosma Sidek yang dijadualkan membuat persembahan bermula pukul 8 malam.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata, Rentak Budaya diwujudkan sebagai platform yang menghubungkan artis serta penggiat seni dan budaya dengan masyarakat dalam suasana santai serta terbuka.
Rentak Budaya bukan sekadar pentas persembahan artis. Kita mahu masyarakat datang bersama keluarga, melihat, mencuba dan merasai sendiri kepelbagaian seni serta budaya yang kita miliki.
“Di River of Life, pengunjung boleh berinteraksi secara lebih dekat dengan penggiat seni, manakala di Padang Merbok kita tampilkan persembahan berskala lebih besar yang menggabungkan artis popular dengan seni kebudayaan.
“Kita mahu Rentak Budaya menjadi ruang pertemuan antara seni tradisi dengan generasi hari ini. Seni dan budaya perlu terus diraikan, diberi ruang dan diperkenalkan dengan pendekatan yang segar supaya ia kekal dekat di hati masyarakat,” katanya.
Tidak ketinggalan, persembahan Dikir Barat oleh Issey & Friends serta sajian seni tradisional seperti gendang rebana, silat, tarian joget, zapin berkopak dan Gendang 24 bakal menyemarakkan lagi suasana sepanjang acara berlangsung.
Gabungan barisan artis popular dengan persembahan tradisional itu diharap dapat mencetuskan pengalaman berbeza kepada pengunjung, sekali gus membuktikan seni warisan masih mempunyai tempat dalam landskap hiburan masa kini.
Acara di Padang Merbok turut berlangsung bersempena Hari Permainan Malaysia 2026 yang diadakan pada sebelah siang, selain menawarkan pelbagai gerai makanan dan minuman tular untuk dinikmati pengunjung sepanjang tiga hari festival.
Namun, kemeriahan Rentak Budaya tidak terhenti di pentas utama apabila River of Life turut menawarkan pengalaman seni yang lebih dekat menerusi pelbagai aktiviti interaktif, demonstrasi dan bengkel yang boleh disertai orang ramai.
Pengisian menarik
Beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam sepanjang tiga hari, kawasan berkenaan juga menempatkan gerai jualan produk berasaskan kraf, seni dan budaya, selain pentas mini yang menampilkan pelbagai pengisian menarik.
Antaranya termasuk sesi Sembang Seni, persembahan buskers, demonstrasi tarian zapin, bengkel membuat tanjak, batik, kaligrafi dan seni khat, demonstrasi pemakaian busana Malaysia serta persembahan sketsa.
Turut memeriahkan program di River of Life ialah Ann Abdullah, Kumpulan Teater Hidayah, Kyoji Sky, Siddiq Band, Mie Raja Lawak dan Pak Chu Raja Lawak, selain beberapa penggiat seni tempatan lain.
Pendekatan berkenaan membuka ruang kepada pengunjung bukan sekadar menjadi penonton, malah berpeluang berinteraksi secara langsung dengan penggiat seni serta mencuba sendiri aktiviti yang mengetengahkan kemahiran dan kreativiti warisan tempatan.
Rentak Budaya 2026 dianjurkan Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Wilayah Persekutuan) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan kerjasama Seniman, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan (JKKN).
Dengan pengisian dari pagi hingga malam, festival itu menyasarkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, golongan muda, peminat seni, pelancong dan warga kota untuk bersama-sama meraikan kepelbagaian budaya seni.

