‘Tolong jangan hina pasukan Lesti lagi, saya yang salah’

PELAKON Izara Aishah merayu netizen Malaysia agar menghentikan kecaman dan hinaan terhadap pasukan penyanyi Indonesia, Lesti Kejora susulan kontroversi yang tercetus dalam media sosial.

Izara atau nama lengkapnya, Izara Aishah Hisham, 34, mengakui kesilapan berpunca daripada tindakannya sendiri yang terlalu mengikut emosi serta tidak profesional apabila meluahkan perasaan secara umum.

Menurut Izara,  dia enggan isu berkenaan terus berpanjangan sehingga mengheret pihak lain menjadi sasaran kecaman terutama apabila serangan mula menyentuh rupa paras dan keluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Orang Malaysia yang menjadi pengikut saya, tolong jangan hina lagi pasukan Lesti kerana yang salah saya. Saya yang terlalu beremosi dan tidak profesional di media sosial.

“Jangan sampai mencaci. Kalau boleh, minta maaf walaupun kita rasa kita betul. Insya-Allah, Allah akan memberikan ganjaran besar jika kita meminta maaf. 

“Tolonglah, saya mohon berhenti. Semua kesilapan itu daripada saya dan saya mengakuinya sepenuhnya,” katanya dalam hantaran di Threads.

Pada masa sama, Izara menegaskan perbuatan menghina rupa paras, keluarga dan perkara peribadi bukan sesuatu yang wajar dilakukan hanya kerana marah terhadap seseorang.

Terdahulu, perdebatan antara netizen tempatan dan indonesia tercetus selepas Izara  memuat naik hantaran mendakwa pasukan Lesti bersikap sombong ketika berjumpa di konsert Gema Bumantara, baru-baru ini.

Perkongsian tersebut dipadam sebelum dia meminta maaf atas keterlanjuran kata-katanya namun netizen sempat menangkap layar dan menularkan hantarannya itu.

Begitupun, Lesti kemudian membuka mulut meminta maaf andai dakwaan membabitkan ahli rombongannya mencetuskan salah faham sebelum  Siti pula tampil menyeru agar orang ramai bertenang memandangkan kedua-dua pihak sudah berdamai.

Begitupun, perbalahan antara netizen kedua-dua negara dalam media sosial tampak terus berlarutan selepas beberapa hari isu berkenaan tercetus. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok