SUSULAN kontroversi drama Madu Atau Racun ditegur pelbagai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, syarikat produksi MIG Production House tampil membuat permohonan maaf
MIG dalam kenyataan media memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai isu berkenaan, selain mengambil setiap kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka.
“Kepada seluruh penonton, peminat dan semua pihak yang memberikan sokongan terhadap drama Madu atau Racun.
“Kami ambil maklum terhadap isu yang sedang tular dan menyentuh sensitiviti agama serta masyarakat dengan babak yang dilihat agak keterlaluan untuk ditonton secara umum.
Kami memohon maaf dan menghormati pandangan semua pihak dan akan memperbaiki karya kami akan datang dan seterusnya mengambil teguran ini sebagai satu pengajaran besar,” tulis kenyataan itu di Instagram.
Menerusi hantaran sama, rumah produksi yang turut aktif menerbitkan filem itu menegaskan pihaknya bukan sengaja mahu mencetuskan isu.
Kami ingin menegaskan bahawa kami tiada niat sama sekali untuk menyentuh, memperlekehkan atau menimbulkan sebarang kontroversi dengan sengaja,” ujarnya.
Sejak beberapa hari lalu drama bersiri 12 episod arahan Eyra Rahman yang disiarkan di platform IQIYI menjadi perdebatan hangat susulan babak didakwa berunsur perlakuan hubungan sejenis.
Desakan agar pihak berkaitan menarik balik siaran drama yang baru memasuki episod keempat itu ‘panas’ dalam platform Threads sehingga meraih maklum balas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Pihaknya menolak penayangan drama Madu Atau Racun yang menimbulkan keresahan kalangan masyarakat, selain kesal atas tindakan menyerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.
Susulan itu, satu pertemuan melibatkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bersama wakil MIG, iQIYI serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta persatuan berkaitan diadakan pada hari ini bagi membincangkan isu berkenaan. – HIBGLAM
