‘Tak sangka Christine Hakim, Reza Rahadian sudi bintangi filem saya’

PENGARAH terkenal, Erma Fatima tidak menyangka dua nama besar industri perfileman Indonesia iaitu Christine Hakim dan Reza Rahadian setuju membintangi filem baharunya berjudul Langit 2 Warna.

Menurut Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 58, ketika dia menulis skrip, tidak terlintas dalam fikirannya dua pelakon hebat itu akan menjadi sebahagian filem arahannya.

“Filem ini pada mulanya ditulis mengenai kisah cinta orang Malaysia. Tetapi bila hero yang saya mahukan tidak berkelapangan, jadi saya ubah skrip menjadi kisah cinta dua negara.

Bila skrip sudah siap, saya berikan kepada sahabat baik dan idola saya iaitu Christine Hakim untuk dapatkan pandangannya. Tetapi tak sangka dia menunjukkan minat untuk terlibat dalam filem ini selepas membaca keseluruhan skrip. Jadi saya olah skrip untuk dia.

“Dia tanya saya sama ada saya sudah ada calon untuk watak hero. Ketika itu saya belum punya nama yang sahih. Jadi dia mencadangkan nama Reza Rahadian. Saya kata tak mungkin Reza akan terima. Tapi Christine yakinkan saya untuk bertanya dengan Reza dan dia juga yang meyakinkan Reza untuk terima filem ini,” katanya.

Tambah Erma lagi, dia terpaksa menanti jawapan daripada Reza selama dua bulan sebelum aktor itu memberi kata putus.

“Sejujurnya saya tak rasa Reza akan terima kerana saya tahu dia seorang yang sangat memilih.

Setiap hari saya tatap skrin telefon menanti jawapan daripada Reza. Dan akhirnya dia bersetuju untuk membintangi filem ini,” jelasnya.

Menariknya Erma merahsiakan tentang pemilihan Reza dan Christine daripada pengetahuan pelakon lain sehinggalah sesi membaca skrip berlangsung semalam sebelum sesi sidang media.

Sementara itu, peranan sebagai heroin pula diberikan kepada aktres berbakat besar, Ummi Nazeera.

Menurut Erma, setiap filem arahannya pasti akan menampilkan heroin berwajah Melayu dan Ummi Nazeera adalah pilihan tepat selepas sesi uji bakat secara tertutup diadakan.

Filem Langit 2 Warna turut menampilkan pelakon handalan lain seperti Eman Manan, Datin Paduka Umie Aida, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Zizi Kirana, Sharifah Aryana dan Heliza Helmi.

Filem bertemakan cinta Islamik itu akan menjalani penggambaran pada November depan melibatkan beberapa buah negara antaranya Malaysia, Indonesia dan Mesir. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok