Nafas ketengah inovasi pembajaan anak tempatan di MAHA 2026

PERTUBUHAN Peladang Kebangsaan (Nafas) bakal mengetengahkan inovasi pembajaan hasil kepakaran anak tempatan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Selain itu, Nafas akan menganjurkan sesi Pocket Talk dan Bicara Inspirasi sebagai platform perkongsian ilmu, khususnya kepada golongan petani dalam usaha membantu meningkatkan produktiviti serta memperkukuh sektor pertanian negara.

Peranan Nafas dalam pembangunan industri padi negara turut menjadi antara fokus utama perkongsian bagi memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai usaha organisasi itu memperkasa sektor agromakanan negara.

Menurut Nafas, penganjuran sesi berkenaan memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat dan pengetahuan secara langsung berkaitan amalan pertanian yang lebih berkesan.

Antaranya termasuk aspek pengurusan nutrien tanaman dan kesuburan tanah yang penting bagi memastikan produktiviti sektor pertanian dapat dipertingkatkan.

“Inisiatif ini turut mencerminkan usaha Nafas memperluas perkongsian ilmu serta memperkenalkan penyelesaian inovatif yang mampu menyokong peningkatan produktiviti dan kemampanan sektor pertanian negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, penyertaan Nafas pada MAHA 2026 turut menggabungkan elemen produk, promosi, aktiviti interaktif, perkongsian ilmu dan teknologi selain kerjasama strategik.

Pendekatan berkenaan dilihat mampu memberi pengalaman lebih dekat dan menyeluruh kepada pengunjung, selain membuka ruang kepada masyarakat memahami peranan Nafas dalam pembangunan sektor pertanian negara.

Nafas berkata, penyertaan itu juga menjadi platform untuk memperkenalkan inovasi serta pendekatan baharu dalam sektor pertanian yang boleh memberi manfaat kepada golongan peladang dan pengusaha agromakanan.

Selain perkongsian berkaitan teknologi pembajaan, pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat mengenai usaha Nafas dalam memperkukuh industri padi serta rantaian bekalan agromakanan negara.

Penganjuran MAHA 2026 dijangka menjadi ruang strategik kepada Nafas untuk mempertemukan golongan peladang, pemain industri dan masyarakat menerusi perkongsian pengetahuan serta pengenalan kepada teknologi pertanian terkini.

Penyertaan itu selaras dengan komitmen Nafas untuk terus memperkasa golongan peladang melalui inovasi, ilmu dan teknologi dalam usaha menjadikan sektor pertanian negara lebih produktif serta berdaya saing. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok