Rumah Tanpa Cahaya papar emosi kehilangan

KEHILANGAN insan bergelar ibu bukan hanya meninggalkan ruang kosong, malah mampu merobek keharmonian keluarga yang selama ini berpaut pada kasih dan pengorbanan insan istimewa itu.

Persoalan tersebut menjadi nadi filem Indonesia, Rumah Tanpa Cahaya arahan Odi Harahap yang menyelami kehidupan sebuah famili selepas pemergian individu penting dalam kehidupan mereka.

Penulis skripnya, Deddy Mizwar, berkata Rumah Tanpa Cahaya tidak bergantung semata-mata kepada elemen sayu, sebaliknya mengajak penonton menghargai perkara kecil yang sering dipandang remeh dalam kehidupan seharian.

“Rumah Tanpa Cahaya memberi fokus kepada hal kecil dalam kehidupan yang mungkin sebelum ini kita anggap biasa tetapi hakikatnya meninggalkan impak besar.

“Contohnya seperti hidangan yang tersedia di meja, doa seorang ibu, nasihat serta kehadiran seseorang yang hanya disedari selepas dia tiada,” katanya.

Menampilkan pelakon seperti Ira Wibowo sebagai Nurul, Donny Damara (Qomar), Ridwan A. Ghany (Samsul) dan Lavicky Nicholas (Azizi), filem terbabit menemui penonton Malaysia sejak 20 Ogos lalu.

Filem sarat air mata itu turut mengangkat persoalan siapa yang mampu menyatukan sebuah keluarga apabila seorang ibu yang selama ini menjadi nadi mereka pergi buat selama-lamanya.

Dalam filem berkenaan, Nurul merupakan seorang isteri dan ibu, selain menjadi tulang belakang keluarga Qomar selain membantu menghidupkan warung Empal Gentong yang menjadi sumber rezeki keluarga.

Lebih daripada sekadar perniagaan, warung tersebut juga menjadi ruang untuk seluruh anggota keluarga berkongsi kehidupan, kasih sayang dan kenangan sebelum segala-galanya berubah selepas wanita terbabit meninggal dunia secara mengejut.

Menurut Deddy, pemergian Nurul membuatkan Qomar selaku suami kehilangan tempat bergantung, manakala anak mereka, Samsul dan Azizi berdepan hakikat mereka selama ini terlalu terbiasa dengan pengorbanan ibu sehingga tidak pernah benar-benar memahami nilainya.

“Konflik keluarga semakin meruncing apabila hubungan antara mereka mula retak, selain warung yang menjadi sumber kehidupan turut berdepan masalah.

“Di sinilah bermulanya kemelut dalaman anak-beranak itu yang selama ini terlampau bergantung harap kepada Nurul,” ujarnya.

Akuinya, gandingan dua bintang hebat, Ira Wibowo dan Donny Damara merupakan antara tarikan utama filem itu menerusi watak pasangan suami isteri yang perlu berdepan perubahan besar dalam keluarga

‘Ira menerusi watak Nurul menjadi simbol ibu yang kehadirannya begitu dekat dengan kehidupan keluarga sehingga nilai sebenar pengorbanannya hanya benar-benar dirasai selepas dia tiada.

“Donny pula menggalas karakter Qomar iaitu suami dan bapa yang terpaksa meneruskan kehidupan sambil menanggung kehilangan insan yang selama ini menjadi kekuatan keluarga,” ujarnya.

Berdurasi 103 minit, Rumah Tanpa Cahaya diterbitkan Citra Sinema dan SinemArt Pictures serta diedarkan Horizon Film Entertainment. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok