‘Lucunya, sebenarnya tidak suka orang melihat saya menangis’

SELEPAS melalui fasa kehidupan penuh ujian, pelakon Zizie Izette mula membuka sedikit ruang untuk berkongsi sisi peribadi selama ini jarang didedahkan kepada umum.

Zizie atau nama sebenarnya Zizie Izette Abdul Samad, 48, mengakui dirinya seorang individu cukup menjaga privasi, terutama membabitkan perkara berkaitan perasaan, ketakutan serta perkara paling dekat dengan hati.

“Perkara mungkin ramai tidak tahu tentang saya, sebenarnya saya seorang sangat menjaga privasi. Saya tahu kedengaran agak ironik memandangkan banyak bahagian kehidupan saya sudah dilihat orang.

“Namun, bahagian paling dalam diri saya seperti pemikiran, ketakutan, perkara menyakitkan hati serta apa benar-benar saya percaya jarang saya ceritakan kepada sesiapa.

“Mungkin selepas ini saya akan mula berkongsi sedikit demi sedikit,” katanya dalam Threads.

Tambah pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu, dia juga mudah tersentuh sehingga menitiskan air mata setiap kali bercakap dari hati, biarpun berada dalam keadaan baik.

“Selama ini saya tertanya-tanya kenapa setiap kali bercakap sesuatu daripada hati, saya terus rasa mahu menangis walaupun sebenarnya saya baik-baik sahaja.

“Mungkin saya seorang mudah merasai sesuatu dengan terlalu mendalam. Lucunya, saya sebenarnya tidak suka orang melihat saya menangis,” ujarnya.

Menurut Zizie, sifat berhati-hati turut membuatkannya sukar memperlihatkan sisi rapuh kepada individu tidak begitu dikenalinya, malah dia mempunyai tembok tersendiri dalam menjaga emosi.

“Saya ada tembok, terutama apabila bersama orang tidak begitu saya kenali. Saya agak berhati-hati untuk menunjukkan sisi rapuh diri.

“Jadi, apabila cuba bercakap dari hati, saya terpaksa menahan air mata kerana hati mahu meluahkan perasaan, tetapi tembok dalam diri pula seakan-akan berkata, ‘Tolong jangan buat begini di depan orang’,” luahnya.

Perkongsian tersebut mengundang perhatian netizen, malah ramai menyifatkan keberanian Zizie membuka sisi emosinya sebagai sesuatu menyentuh hati selepas melalui kehilangan besar dalam kehidupan.

Ada netizen turut menitipkan kata-kata semangat serta mendoakan Zizie terus kuat mengharungi hari mendatang bersama anak-anak.

Untuk rekod, Zizie mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 2009. Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata selain dua anak angkat.

Pada 5 Disember lalu, Allahyarham Bung Moktar, bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, menghembuskan nafas terakhir akibat kegagalan buah pinggang serta jangkitan kuman pada paru-paru di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok