Tahi lalat dah jadi tumor, kena buang – Fajar Noor

BUKAN rawatan kosmetik untuk mengubah ciptaan Tuhan, penyanyi Indonesia Fajar Noor bertegas pembedahan membuang tahi lalat pada bahagian hidungnya terpaksa dilakukan demi faktor kesihatan.

Menurut Fajar atau nama penuhnya Fajar Nurdiansyah, 22, keputusan tersebut diambil bukan kerana mahu menjaga penampilan semata-mata.

“Bukan untuk jaga penampilan tetapi untuk kesihatan.

“Saya lakukan pembedahan itu sebab menurut doktor, sudah menjadi tumor dan membesar di bahagian dalam hidung.

“Memang harus lakukan pembedahan. Jika tidak dalam tempoh lima tahun mungkin akan jadi lebih teruk,” katanya kepada HibGlam sebelum menjayakan persembahan Sementara, Selamanya Showcase, semalam.

Meskipun bakal menjadi sebutan ramai, pelantun lagu Salah Apa Aku itu enggan peduli dengan tuduhan liar yang bakal dilemparkan.

“Biarlah apa orang nak kata, mungkin mereka tidak tahu alasannya. Saya juga tidak pernah menjelaskan perkara tersebut sebelum ini.

“Apa yang paling penting, saya buang tahi lalat adalah untuk kesihatan ,” ujarnya.

Semalam, Fajar menghiburkan lebih 200 peminat pada Sementara, Selamanya Showcase di Aloft Hotel, Kuala Lumpur.

Pada showcase tersebut, dia menyampaikan lima buah lagu seperti Takhta Hatiku #Pendampingmu, Tuhan Tahu Kita Saling Cinta, Salah Apa Aku, 8 dan Jangan Datang Saat Kesepian. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok