Tertekan, banyak perkara merisaukan saya – Arfie Shah

PERTAMA kali beraksi dalam gelanggang teater, pelakon yang semakin meningkat naik, Arfie Shah akui gementar sewaktu membintangi pementasan teater Tarik Picu yang berlangsung di PJ Pac baru-baru ini.

Memegang watak utama, Arfie yang sebelum ini selesa berkarya di layar kaca dan layar perak menyahut cabaran untuk mencungkil lebih dalam bakat lakonannya di pentas teater.

Selain Arfie, Tarik Picu menampilkan beberapa lagi pelakon hebat lain seperti Idan Aeden, Jay Iswazir, Khenobu dan Amalina Arhan.

Diarahkan Fazleena Hishamuddin dan diterbitkan Mask Team, Tarik Picu mengisahkan tentang sekumpulan perompak yang merompak kedai emas dan diburu pihak berkuasa.

Mereka bersembunyi di sebuah tempat dan di situlah kisah silam di sebalik setiap karakter dirungkaikan.

Menurut Arfie atau nama sebenarnya Ad Wafri Shahruddin, 33, penglibatan dalam dunia teater menjadikannya pelakon yang lebih baik.

“Saya belajar banyak perkara baru bila terlibat dengan teater. Sebagai orang baharu, saya kena gandakan usaha saya.

Saya belajar untuk besarkan suara saya. Itu antara cabaran terbesar saya kerana saga seorang yang ‘soft spoken’.

“Bergandingan pula dengan pelakon yang sudah berpengalaman dalam dunia teater seperti Jay Iswazir. Jadi saya perlu berikan yang terbaik,” katanya.

Sewaktu sesi pementasan pertama Tarik Picu dilakukan, ramai penggiat industri turut hadir untuk memberikan sokongan.

Antara yang dilihat hadir, termasuk pelakon terkenal Ellie Suriaty. Ellie dilihat sempat bertemu Arfie dan mengucapkan tahniah kepada aktor itu.

Ditanya apa yang dikatakan pelakon dan juga guru seni lakonan itu kepadanya, kata Arfie dia gembira apabila lakonannya mendapat pujian Ellie.

“Gementar juga bila ditonton oleh pelakon hebat seperti Kak Ellie. Saya beritahunya ini teater pertama saya, tolong jangan ‘judge’ saya.

Tetapi sebaliknya dia memuji lakonan saya. Dia juga sempat memberi nasihat lakonan supaya saya dapat lakukan lebih baik dalam satu babak untuk pementasan seterusnya.

“Jadi saya ambil nasihatnya dan lakukan apa yang dipesannya untuk persembahan seterusnya,” ujarnya.

Melihatkan perubahan fizikal tubuhnya yang sedikit susut dan wajah yang cengkung, kata pelakon filem Impak Maksima itu, dia agak tertekan memikirkan tentang teater ini.

Sejujurnya saya agak tertekan. Setiap masa saya fikir tentang teater ini. Bangun tidur fikir tentang teater, nak tidur pun fikir tentang teater.

“Banyak perkara yang menjadi kerisauan saya. Saya tak sempat nak pergi gimnasium untuk bersenam.

“Sesi latihan untuk teater ini pula hanya ada dua minggu. Dalam waktu yang singkat itu, tambahan pula saya seorang yang baru berjinak-jinak dengan teater, banyak perkara yang saya perlu lakukan.

“Jadi memang saya fokus 100 peratus perhatian untuk teater ini. Tiada masa untuk buat benda lain,” kongsinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok