‘Mahu buat rawatan di Guangzhou’ – Isteri Nazrey hidap barah

PENYANYI nasyid terkenal, Nazrey mendedahkan isterinya disahkan menghidap barah mata dan hati.

Menurut Nazrey atau nama lengkapnya Nazrey Johani, 55, tahap barah yang dihidapi isterinya masih di peringkat awal dan merancang melakukan rawatan di Guangzhou, China.

“Isteri saya baru sahaja disahkan menghidap barah hati dan mata minggu lalu. Sebenarnya dia sudah lama sakit, selalu muntah darah.

“Bila bawa ke klinik, doktor minta saya bawa isteri ke hospital. Selepas melakukan pemeriksaan, akhirnya doktor sahkan isteri saya menghidap barah.

“Jadi saya merancang jika diberikan rezeki saya mahu bawa isteri buat rawatan di Guangzhou.

“Kebetulan isteri sahabat saya iaitu Syamsul dari kumpulan The Zikr turut menghidap barah dan mendapat rawatan di sana,” katanya ketika ditemui di majlis Doa Selamat Rayhan Syukur 26, di Publika, semalam.

Tambahnya lagi, hospital di Guangzhou menggabungkan terknologi rawatan moden dan tradisional.

“Isteri Syamsul daripada tak boleh berjalan, sampai dah boleh berjalan sekarang. Di sana mereka fokus kepada barah yang dihidapi.

“Contohnya kalau barah hati, mereka fokus kepada barah hati. Mereka tak buat rawatan untuk seluruh tubuh badan. Mereka akan rawat satu persatu.

“Saya sendiri kalau ada rezeki, mahu bawa isteri untuk dapatkan rawatan di sana,” jelasnya.

Menariknya kata Nazrey, pihak hospital di sana mencadangkan agar Syamsul dan kumpulan The Zikr melakukan konsert amal untuk mengumpul dana rawatan.

“Kali pertama Syamsul pergi ke sana , dia beritahu saya kalau tak ada duit pihak hospital akan beri idea macam mana untuk cari duit untuk bayar kos rawatan.

“Saya pun baru sahaja dapat panggilan daripada Syamsul beritahu ada projek baharu untuk buat konsert mengumpul dana untuk sakit kanser. Insya-Allah kita akan usahakan,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Nazrey akan muncul dalam sebuah konsert bersama kumpulan The Rayhan tidak lama lagi selepas 20 tahun tidak melakukan konsert. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok