SELAMA 35 tahun bertahan dalam industri muzik tanah air membuktikan kumpulan popular, Exists merupakan antara seniman penting dalam landskap hiburan Malaysia.
Biarpun bertukar vokalis daripada Mamat kepada Ezad Lazim, namun perihal tersebut sedikit pun tidak merencatkan perjalanan Exists untuk menjadi antara kumpulan terunggul tempatan.
Sembilan album studio menjadi bukti betapa kumpulan yang turut dianggotai Along, Ujang, Musa, Ajai dan Shah itu punya peminat setia yang sentiasa menyokong muzik mereka sejak debut perdana pada tahun 1991.
Album pertama mereka sahaja mencecah jualan melebihi 250,000 unit dengan lagu Untukmu Ibu menjadi antara hit sepanjang zaman.
Siapa sangka, Exists ketika di puncak populariti mereka tidak pernah melunaskan persembahan berstatus konsert sehinggalah pada tahun 2019.
Konsert Reunion Exists yang berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam ketika itu menjadi ‘pembuka’ sekali gus membuktikan kuasa band agung tersebut bukan sahaja mendominasi corong radio, namun mampu melariskan jualan tiket.
Sejak detik itu, Exists dilihat terus teruskan mengadakan konsert sehinggalah mereka dilamar Icon Entertainment untuk menganjurkan konsert terbesar mereka iaitu Memento Mori yang berlangsung di Unifi Arena Bukit Jalil pada 1 Ogos lalu.

EXISTS akan terus menjadi sebuah kumpulan kegemaran rakyat Malaysia sampai bila-bila.
Detik bersejarah bagi meraikan 35 tahun penubuhan Exists itu menghimpunkan 9,000 peminat mereka dalam dan luar negara.
Tepat pukul 9 malam, Exists membuka tirai konsert dengan lagu rancak Percayakan Siti nyanyian Ezad sekali gus menaikkan semangat dan ‘mood’ penonton yang sudah menunggu sejak lebih satu jam sebelum konsert bermula.
Ezad meneruskan sesi salam pengenalan dengan lagu Mama Tolonglah Percaya, Masih Terserlah Ayumu dan Hilang Dalam Ramai.
Seterusnya, pentas diserahkan kepada Mamat yang mendendangkan lagu Anugerah, Meniti Cita-Cita, Janji Bidadari dan Nota Dilautan Sepi.
Pertukaran vokalis di atas pentas ini berlangsung beberapa kali sebelum kedua-dua mereka bergabung di penghujung konsert.
Antara lagu wajib yang didendangkan adalah Untukmu Ibu, Jesnita, Julia, Seperti Dulu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Dirantai Digelangi Rindu dan Rahsia Pohon Cemara.
Sewaktu ingin menyampaikan lagu Rahsia Pohon Cemara, Mamat sempat berkongsi tentang teknik nyanyiannya untuk lagu itu sewaktu remaja.
“Ramai tanya kenapa saya menyanyi bahagian ‘berkurun lama kurahsiakan’ sebegitu rupa. Sebenarnya ‘tone’ suara saya waktu itu lain. Masih budak-budak waktu tu,” katanya.
Menyaksikan Mamat berdiri tegap di tengah pentas, sungguh ada satu lintasan lega menyelinap ke jiwa. Rasa bangga dan kagum terbit hingga kelopak mata terasa memanas. Tahniah Mamat, kamu hebat.
Memandangkan ini adalah konsert terbesar dan bagi meraikan ulang tahun ke 35 penubuhan mereka, Exists turut mendendangkan lagu-lagu ‘rare’ yang jarang dinyanyikan sebelum ini.

EXISTS berjaya menghipnosis lebih 9,000 penonton yang membanjiri konsert Memento Mori berlangsung di Unifi Arena Bukit Jalil, pada 1 Ogos lalu.
Antara lagu ‘rare’ yang didendangkan pada malam itu adalah Kuman H.I.V, Oh Benih Adam dan Konklusi.
Menurut Ezad, kumpulan Exists sangat bertuah kerana diberikan kebebasan untuk berkarya dan membuat kelainan dalam setiap album mereka.
“Kami bertuah kerana diberikan kebebasan dalam berkarya. Sebab itulah kalau anda perasan, dalam setiap album kami pasti ada kelainan yang kami tonjolkan,” katanya.
Turut didendangkan buat pertama kali di hadapan peminat adalah single terbaru mereka yang berjudul Memilih Yang Salah.
“Sempena pilihan raya Negeri Sembilan (baru-baru ini), jangan ada yang salah memilih,” gurau Ezad sebelum mendendangkan lagu baharu Exists.
Mamat pula turut mendendangkan lagu Buih Jadi Permaidani iaitu lagu Mengintai Dari Tirai Kamar versi Indonesia. Menurut Mamat, single itu adalah single ‘cover’ baharu yang dirakamnya secara solo.
Konsert pada malam diakhiri dengan persembahan secara duet oleh dua vokalis Exists iaitu Mamat dan Ezad mendendangkan lagu Langkah Seiringan dan Alasanmu.
Secara keseluruhan, konsert ini agak memuaskan daripada segi visual. Pentas direka cantik, begitu juga pencahayaan. kedua-dua penyanyi juga tidak perlu dipertikaikan. Sesedap rasa mengikut usia masing-masing.

DUA ‘suara’ kumpulan Exists iaitu Mamat dan Ezad masing-masing melunaskan tanggungjawab sebagai vokalis dengan cemerlang.
Biarpun ada yang mempertikaikan tentang pemilihan lagu yang kurang ‘familiar’, namun bagi peminat setia Exists, mereka gembira mendengar lagu-lagu tersebut akhirnya dipersembahkan di dalam sebuah konsert.
Mungkin susunan giliran setiap lagu boleh diperbaiki agar momentum dan keterujaan penonton tidak terbantut atau terganggu tatkala lagu-lagu kurang popular dinyanyikan.
Interaksi dengan penonton juga agak kurang. Mungkin ‘terkejar’ masa melunaskan 33 lagu dipersembahkan. Kendatipun, itu semua tidak mencacatkan nuansa persembahan kerana ada yang hadir ke konsert untuk mendengar penyanyi menyanyi, bukannya bercakap.
Untuk Exists, tetaplah tangguh sehingga berkurun lama lagi.
