PENYANYI Auddra atau Odda menafikan dirinya menerima pelbagai keistimewaan atau tawaran hanya disebabkan statusnya sebagai anak kepada pasangan selebriti, Sharifah Shahirah dan Ijoy.
Odda, 17, berkata, dia tidak pernah menggunakan ahli keluarganya sebagai orang tengah atau ‘kabel’ untuk mendapat banyak tawaran.
“Sebenarnya banyak orang kata saya ‘nepo baby’, katanya dapat kerja dengan mudah tetapi hakikatnya tidak.
Orang cakap saya ‘nepo baby’ tetapi realitinya saya tetap hadir sesi uji bakat. Mereka kata, anak Sharifah Shahirah mesti akan dapat macam-macam tetapi tidak pun.
“Sekarang saya melalui perkara sama mak saya rasa dulu seperti kena marah di set penggambaran tetapi saya okey dan terima sahaja, angguk dan geleng kepala,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran single baharunya, Gelanggang Rasa di sini, semalam.
Tambah Odda, dia juga melalui banyak sesi uji bakat untuk mendapat peluang dan tawaran dengan adil.
Katanya, perbandingan dirinya dengan ahli keluarga lain yang bergelar selebriti terutama ibunya tidak sepatutnya berlaku kerana setiap daripada mereka mempunyai kelebihan berbeza.
“Saya selalu pesan kepada artis baharu lain, amalkan konsep angguk-angguk dan geleng-geleng.
Sebenarnya perjalanan seni saya tidak mudah seperti yang orang lihat. Banyak kerja keras di sebalik semua ini. Kalau saya ‘nepo baby’ sekali pun, tak mungkinlah saya lahir terus ada kehidupan sempurna.
“Kemudian, jangan sesekali bandingkan perjalanan seni saya dengan artis lain. Contohnya bandingkan saya dengan mama yang sudah berusia 51 tahun.
“Tidak sepatutnya sebab saya baru berusia 17 tahun, jadi semua perlu bertenang dan beri ruang,” jelasnya.
Dalam pada itu, bekas peserta program Talk To My Manager itu memberitahu dia tidak terkesan dengan sebarang kecaman yang dilemparkan kepadanya.
Sebelum orang ramai cakap saya tak boleh menyanyi, keluarga sudah beritahu dulu perkara itu.
“Sebab itu kalau ada kecaman, saya okey dan hadap saja sekarang ini,” katanya lagi.
Berkongsi mengenai Gelanggang Rasa hasil Mingaling, Micu Ellis dan Aril Armani, Odda mengakui terharu kerana impian untuk memiliki single sendiri akhirnya menjadi realiti.
Saya sangat terharu, tercapai sudah satu impian saya.
“Sejak dulu lagi saya memang ada impian untuk mempunyai lagu sendiri. Sekarang semua itu sudah menjadi kenyataan, Alhamdulillah,” katanya yang juga bernaung di bawah SN Legacy Sdn. Bhd. – HIBGLAM
