‘Saya tidak tahu tentang dakwaan berlagak di set penggambaran’

AKTOR meningkat naik Jazmy Juma tampil bersuara mempertahankan dirinya apabila didakwa bersikap angkuh dan sukar memberi kerjasama dengan pelakon lain di set penggambaran.

Jazmy atau nama penuhnya Jazmy Khan Juma Khan, 28, mengakui terkejut dengan dakwaan tersebut namun menegaskan tidak pernah berniat untuk merosakkan hubungan dengan individu lain di set penggambaran.

“Saya tidak tahu tentang dakwaan ini dan saya tidak pernah ada sebarang isu dengan mana-mana individu di set penggambaran.

“Setakat ini saya tidak pernah kacau sesiapa dan berlagak diva di set penggambaran,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan eksklusif episod pertama drama Yes! Captain Zul Aaryan di sini, semalam.

Meski menafikan dakwaan berlagak diva, dia bagaimanapun mengakui pernah terlewat ke set penggambaran akibat keletihan melampau kerana jadual kerja yang tidak menentu.

Mengakui khilaf sendiri, dia tidak mengambil masa lama untuk meminta maaf kepada semua pihak yang terjejas atas kelewatan tersebut terutama di set penggambaran.

“Kali ini, saya jujur, waktu bekerja sebagai seorang pelakon memang tidak menentu masanya.

“Jadi, bila terlampau penat sehingga terlajak tidur dan terlewat ke set penggambaran, saya minta maaf tetapi itu bukan selalu berlaku. Adakalanya saya tak boleh kawal benda itu dan cuma manusia biasa.

“Insya-Allah selepas ini saya akan kekalkan ekstra tenaga. Saya rasa semua orang ada pengalaman benda ini, apa pun saya minta maaf,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai drama baharunya, Yes! Captain Zul Aaryan, Jazmy memberitahu naskhah tersebut memenuhi impiannya untuk memegang watak sebagai seorang juruterbang.

“Saya memang sudah lama teringin nak jadi juruterbang dalam drama atau filem dan akhirnya terlaksana.

“Kerjasama dengan barisan pelakon lain sangat mudah terutama Anna Jobling walaupun kami pertama kali digandingkan bersama,” ujarnya.

Yes! Captain Zul Aaryan yang turut dibintangi Nafis Muaz, Daniel Fong dan Natasha Sass kini mengisi slot Akasia TV3 dan mula ditayangkan sejak semalam.

Terdahulu, seorang pelakon lelaki memuatnaik sebuah hantaran dalam platform Threads dengan mendakwa kurang senang dengan sikap seorang aktor meningkat naik yang dikatakan berlagak dan tidak bertegur sapa di set penggambaran..

Perkongsian tersebut seterusnya mengundang tanda tanya ramai sehingga ada yang mula memetik Jazmy susulan menjalani penggambaran drama sama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok