Ini benteng terakhir dapat keadilan, saya boleh tunggu – Syed Saddiq

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akur apabila keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya di Mahkamah Persekutuan yang sepatutnya diumumkan hari ini ditangguhkan ke 13 Julai depan.

Syed Saddiq atau nama sebenarnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, berkata, walau mengharapkan proses perundangan yang berlarutan sejak enam tahun lalu berakhir hari ini, beliau menghormati keputusan mahkamah susulan salah seorang hakim mengambil cuti sakit.

“Saya menghormati urusan Yang Arif Hakim dan institusi kehakiman negara. Mahkamah merupakan benteng terakhir untuk saya mendapatkan keadilan berdasarkan fakta, bukannya melalui jalan di luar mahkamah.

Saya faham keadaan ini. Kes ini bukan kes baharu, sudah enam tahun saya berjuang untuk membersihkan nama dan maruah saya. Jadi saya boleh tunggu lagi dua minggu.

“Saya berharap hari ini semuanya dimuktamadkan, tetapi saya perlu menunggu bersama keluarga,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Muar itu menyifatkan pihaknya maklum terdapat pelbagai kemungkinan yang tidak dijangka boleh berlaku sepanjang prosiding mahkamah, termasuk membabitkan faktor kesihatan.

“Ada banyak senario yang kita tidak jangkakan. Apabila melibatkan soal kesihatan, kita perlu hormat, khususnya melibatkan institusi kehakiman negara.

Ini adalah benteng terakhir untuk saya mendapatkan keadilan. Saya tidak kecewa, sebaliknya saya menghormati keputusan ini,” ujarnya.

Terdahulu, keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq ditangguhkan ke 13 Julai depan selepas salah seorang hakim panel, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali, bercuti sakit hari ini dan esok.

Panel yang turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais selaku pengerusi dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah itu sepatutnya menyampaikan keputusan sama ada secara sebulat suara atau majoriti.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Rafiq Hakim Razali, melakukan pecah amanah dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Sebelum ini, pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan tersebut pada 25 Jun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok