‘Dah janji komitmen satu tempat, saya perlu tunaikan’ – Hazama

BUKAN bermaksud jual mahal atau sengaja memilih bulu, namun ketiadaan nama juara Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Hazama dalam senarai bintang yang berentap di pentas Gegar Vaganza Fantasia (GVF) sebenarnya mempunyai alasan yang cukup kukuh.

Bukan juga merajuk jauh sekali digari kontrak eksklusif mana-mana stesen televisyen seperti momokan ramai, pemilik nama sebenar Hazama Ahmad Azmi, 42, itu sebaliknya mendedahkan jadual kerjanya sudah sendat hingga ke penghujung tahun.

Lebih padu, pelantun lagu Relakan Jiwa itu mengakui dia terpaksa menolak pelawaan pihak produksi secara baik kerana sudah awal-awal lagi menerima wang pendahuluan daripada penganjur acara lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak mereka ada tawarkan dan berbincang dengan saya. Cuma, setiap hujung tahun memang banyak acara dan agenda yang sudah dijadualkan.

“Banyak kerja pada hujung tahun ini, malah ada yang sudah mengambil 100 peratus bayaran daripada pelanggan, manakala ada juga yang sudah menerima 50 peratus.

Jadi, dari segi etika dan prinsip kerja, apabila sudah berjanji untuk memenuhi komitmen di satu tempat, saya perlu tunaikan janji itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Magnum Opus: M Nasir Dekad Ke-5, semalam.

Mengulas cakap-cakap nakal segelintir peminat yang menyifatkan dia tidak perlukan pentas GVF kerana sudah berada dala ‘liga’ berbeza dan masih relevan, Hazama memilih untuk bermain selamat.

Katanya, dia enggan menyentuh soal relevan atau tidak kerana bimbang kenyataannya disalah tafsir, memandangkan setiap anak seni mempunyai perjuangan dan periuk nasi masing-masing.

Saya tak berani hendak ulas perkara itu sebab program sebegini kadang-kadang menjadi harapan kepada sesetengah orang. Saya takut nanti orang salah faham dengan kenyataan saya.

“Saya tidak tahu bagaimana penonton di luar melihat program itu. Mungkin ada yang menganggapnya sebagai platform untuk membuat kemunculan semula, ada juga yang melihatnya sebagai peluang pekerjaan.

“Bagi saya, perjuangan setiap penyanyi berbeza-beza. Ada yang menyanyi untuk meneruskan kehidupan, ada yang mahu membuktikan sesuatu dan ada juga yang mempunyai tujuan tersendiri,” ujarnya.

Dalam nada bersahaja namun cukup ‘makan dalam’, bapa kepada seorang cahaya mata itu turut menepis dakwaan kononnya dia tidak bebas muncul di kaca televisyen akibat sekatan stesen penyiaran tertentu.

“Saya bebas dan tidak terikat dengan mana-mana stesen penyiaran. Tidak ada isu seperti itu. Saya boleh bekerja dengan mana-mana stesen TV.

“Kalau ada 10 stesen TV di Malaysia, saya boleh bekerja dengan kesemua 10 stesen itu. Saya seniman Malaysia yang berkhidmat untuk semua media massa,” tegasnya.

Terdahulu, ketiadaan nama Hazama dalam barisan peserta GVF yang mula bersiaran sejak 8 November lalu mencetuskan tanda tanya ramai peminat program realiti berkenaan yang menghimpunkan barisan juara serta alumni AF.

Dalam perkembangan lain, Hazama bakal menjadi antara penyanyi jemputan yang menggamatkan konsert Magnum Opus: M Nasir Dekad Ke-5 di Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 Disember depan.  – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok