MESKIPUN sedang enak menikmati percutian keluarga di luar negara, nama pelakon cantik, Zahirah MacWilson tiba-tiba memanas menjadi kecaman.
Semuanya gara-gara satu hantaran yang dimuat naik secara terburu-buru. Hantaran tersebut dianggap sebagai keterlanjuran bicaranya menyentuh tentang perayaan penganut agama Kristian iaitu Krismas dan Easter.
“Perayaan paling tidak masuk akal pada pendapat saya. Tinggal di luar negara selama 20 tahun dan tidak pernah faham tentang acara ini.
Mereka betul-betul habis-habisan untuk benda ini. Krismas, Easter, Halloween semua pelik.
“Semuanya melibatkan kanak-kanak berpakaian menyamar, meminta gula-gula atau coklat, duduk di atas riba lelaki tua, menyembah makhluk atau watak yang bersifat syaitan, satanik, ghaib atau berkaitan kematian,” tulisnya dalam InstaStory.
Tidak lama kemudian, hantaran tersebut dipadam, namun ramai yang sempat menangkap layar.
Rata-rata berasa marah dan kesal dengan hantaran tersebut terutama penganut agama Kristian.
Sedar akan kesilapan yang dilakukan, Zahirah terus memohon maaf selain mengakui masih dalam proses mendalami ilmu berkaitan agama dan kepercayaan.
“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf sekiranya hantaran tersebut menyinggung perasaan sesiapa. Saya sudah memadam tidak lama selepas dimuat naik supaya tidak menimbulkan lebih banyak salah faham.
“Saya tidak pernah berniat untuk menyakiti atau menyinggung kepercayaan sesiapa.
Saya masih dalam proses mempelajari agama dan kepercayaan, malah sejak itu saya turut membuat kajian, bukan sahaja mengenai kepercayaan sendiri, tetapi juga agama serta kepercayaan orang lain,” katanya dalam Instagram.
Bagaimanapun, pelakon drama Good Boys Go To Heaven itu menjelaskan pandangannya itu bukan bertujuan menyasarkan mana-mana kelompok, sebaliknya lahir daripada persoalan serta usahanya untuk memahami perkara berkenaan.
“Saya mendapati fakta seolah-olah bercanggah dengan perkara diperhatikan.
“Tujuan hantaran itu bukan untuk menyasarkan sesiapa, sebaliknya saya sekadar meluahkan persoalan kerana masih cuba memahami perkara tersebut.
“Islam mengajar saya supaya berlaku adil, berbuat baik dan bersikap saksama terhadap orang lain, bukannya menghina sesiapa,” ujarnya.
Berasa tidak cukup, Zahirah sekali lagi memohon maaf secara terbuka kepada penganut agama Kristian dan menegaskan dia sentiasa menghormati kepelbagaian agama dalam masyarakat.
“Saya amat menghormati kepelbagaian budaya, agama, dan kepercayaan yang menjadikan masyarakat kita indah.
Saya faham bahawa kenyataan itu salah dan tidak sensitif terhadap budaya serta tidak patut diperkatakan langsung.
“Sebagai seorang figura awam, saya sepatutnya lebih berhati-hati terhadap perkara yang saya katakan terutamanya apabila menyentuh perihal agama dan tradisi,” ujarnya.
Begitulah permainan dunia media sosial, adakala cukup hanya dengan satu ‘posting’ terserlah segala ceteknya akalnya akal sesiapa pun. Jadi, bertuturlah atas kapasiti dan sedar diri.
Meskipun meminta maaf, Zahirah tetap dihentam dan dikutuk tanpa rasa belas kasihan.
Dari satu sisi lain, benar, apa yang dikatakan Zahirah wajar dikritik tetapi janganlah keterlaluan. Dia sendiri insaf atas kata-kata yang dikeluarkan.

