Ada benjolan, Dwayne Johnson bimbang hidap kanser

AKTOR Dwayne Johnson mendedahkan pernah berdepan detik mencemaskan apabila mengesyaki dirinya menghidap kanser selepas mendapati ada benjolan pada tubuhnya awal tahun ini.

Bintang yang mesra disapa The Rock itu berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia sibuk menjalani siri promosi filem sempena acara CinemaCon di Las Vegas.

Menurut Johnson, dia mengambil keputusan bertemu doktor pada pagi sebelum berlepas ke Las Vegas selepas menyedari terdapat benjolan yang mencurigakan itu.

Hasil pemeriksaan awal mendapati benjolan berkenaan berkemungkinan berpunca daripada epididimitis iaitu keradangan pada saluran epididimis.

Bagaimanapun, doktor tidak menolak keadaan tersebut boleh menjadi petanda penyakit kanser.

Johnson, 54, mengakui tempoh menunggu keputusan pemeriksaan itu menjadi antara detik paling sukar dalam hidupnya.

Katanya, sepanjang 24 jam tersebut dia terpaksa menyembunyikan kebimbangan dan terus menjalankan tugas seperti biasa di hadapan umum.

Bagaimanapun, dia lega apabila doktor mengesahkan dia dalam keadaan sihat dan benjolan itu bukan kanser. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok