5 bintang kimchi ‘survivor’ kanser

DUGAAN disahkan menghidap kanser pada kemuncak kerjaya bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima, namun kecekalan serta ketabahan jiwa menjadi benteng utama buat pejuangnya mendepani ujian getir berkenaan.

Menerusi rawatan panjang, derita yang ditanggung akhirnya terbayar apabila ada dalam kalangan mereka disahkan bebas daripada penyakit berisiko maut itu.

Bukan sekadar kembali menghiasi skrin televisyen dan pentas persembahan, kebangkitan semula ikon-ikon terbabit turut menyemarakkan sinar harapan buat jutaan peminat yang terinspirasi dengan keajaiban serta kekuatan mereka menentang kanser.

HibGlam kali ini menyenaraikan lima artis dari negara kimchi yang berjaya melawan kanser dan kini kembali aktif dalam dunia seni.

Uhm Jung-hwa

PADA 2010, penyanyi Uhm Jung-hwa membuat satu pendedahan tentang perjuangan menentang kanser tiroid yang dihadapinya.

Selepas pembedahan, wanita berusia 57 tahun itu mengalami kelumpuhan pita suara sehingga kehilangan suara selama lapan bulan.

Pelakon drama My Troublesome Star itu kemudian berjaya memulihkan suaranya menerusi latihan berterusan dan kembali merancakkan persada muzik menerusi album ke-10. Selain itu, dia juga kekal aktif dalam pelbagai rancangan televisyen.

Hong Jin-kyung

SELEPAS disahkan menghidap kanser ovari pada 2014, pelakon, pelawak dan pengacara, Hong Jin-kyung tidak berlengah dan terus menjalani rawatan pemulihan.

Sebagai seorang ibu kepada anak perempuan yang masih kecil ketika itu, dia amat terkejut dengan diagnosis tersebut. Wanita berusia 49 tahun itu bagaimanapun sangat kuat semangat dan meneruskan aktiviti penyiaran sambil menerima rawatan kemoterapi.

Pada 2016, pengacara program Single’s Inferno itu mengumumkan bahawa kansernya berada dalam fasa bebas kanser (remission) selama dua tahun.

Kim Woo-bin

PELAKON Kim Woo-bin mengejutkan dunia hiburan pada 2017 apabila mengumumkan mahu berehat seketika daripada bidang lakonan akibat kanser pangkal hidung nasofarinks yang dihidapnya.

Kanser nasofarinks menyebabkan adanya tumor aktif yang membesar di bahagian belakang tekak yang terletak di antara mulut dan esofagus.

Selepas menjalani tiga pusingan kemoterapi dan 35 kali rawatan radioterapi, pemilik nama sebenar Kim Hyun-joong, 37, kembali aktif dalam industri hiburan pada tahun 2019, yang mengambil masa sekitar dua tahun enam bulan fokus untuk pulih.

Park So-dam

PENGUMUMAN pelakon Park So-dam pada Disember 2021 mengejutkan peminatnya.

Pemeriksaan kesihatan rutin yang dilakukannya mengesan kanser tiroid papilari, lalu memerlukan satu pembedahan segera dilakukan.

Bagaimanapun, pembedahan tersebut dilaporkan menjejaskan pita suaranya.

Ekoran prosedur berkenaan, pelakon filem The Priests itu fokus untuk memulihkan kesihatan menerusi latihan pilates sebanyak lima hingga enam kali seminggu.

Nam Woo-hyun

PADA penghujung 2023, ahli kumpulan Infinite, Nam Woo-hyun menjalani pembedahan akibat Gastrointestinal Stromal Tumor (GIST) pada akhir April tahun yang sama.

GIST adalah sejenis kanser atau ketumbuhan luar biasa yang berlaku pada saluran penghadaman (gastrousus).

Jejaka berusia 35 tahun itu berkongsi bahawa tumor kecil yang dikesan semasa pemeriksaan kesihatan membesar dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, dia memilih untuk menyelesaikan semua komitmen kerjanya terlebih dahulu, sekali gus menangguhkan pembedahan kritikal yang akhirnya menjadi satu prosedur rumit selama 10 jam dengan pembiusan penuh.

Pembedahan tersebut melibatkan potongan sepanjang 20 sentimeter pada bahagian perutnya, selain dia tidak dibenarkan mengambil makanan pepejal selama dua bulan dan tidak boleh meminum air selama tiga minggu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok