‘Agak-agaklah nak makan hasil bukan anak kandung kau’

SEOLAH-OLAH memberi bayangan tentang satu kepincangan, bapa kepada penyanyi remaja, Amad, Saiful Anuar tampil dengan satu pendedahan mengejutkan apabila mendakwa antara faktor mendorong keputusan anak lelakinya itu kembali ke pangkuannya adalah kerana tidak tahan dikerah bekerja namun tidak mendapat hasil setimpal.

Menurut Saiful, sudah lama dia berdiam diri namun tahap kesabarannya ada batasan.

“Selama ini aku diam sahaja. Kau nak makan hasil budak pun agak-agak la. Bukan anak kandung kau.

Baik kau pulangkan apa hak dia sebelum aku rungkai hal-hal yang lagi besar. Ini baru sebahagian. Ini sebahagian daripada sebab Amad balik ke pangkuan aku kerana dia dikerah. Tapi apa pun tak dapat.

“Aku bercakap sebab aku pertahankan kebajikan anak aku sebab dia anak kandung. Hanya aku tahu apa yang anak aku hadap selama ini. Sabar ada batas,” tulisnya.

Saiful turut menuntut agar telefon pintar jenis Iphone16, duit royalti dan duit hutang Amad yang juga peserta Talk To My Manager musim pertama itu dikembalikan.

Kasihan budak tu ke hulu ke hilir sponsor bayar RM5,000 tapi dapat RM1,500 sahaja,” dedahnya berserta tangkap layar mesej perbualan serta resit transaksi pembayaran.

Tambahnya lagi, selama anak-anaknya memilih karier nyanyian, dia tidak pernah meminta satu sen pun untuk kegunaannya.

Beberapa minggu lalu, Amad atau nama sebenarnya Ahmad Dayyan, 13, membuat keputusan berpindah ke Kuantan untuk menetap bersama bapanya serta bersekolah di sana.

Ibunya Siti Sairah Tarudin yang merangkap sebagai pengurusnya sebelum ini akur dengan keputusan Amad dan mendoakan yang terbaik untuk remaja itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok